KULIM – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti keperluan memperluas kawalan keselamatan termasuk di pangkalan pasukan keselamatan susulan insiden penyeludupan dadah bernilai RM4.83 juta di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan insiden berkenaan dan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.”Ekoran insiden di lapangan terbang tempoh hari, ada beberapa agensi kawal selia lain contohnya Aviation Security, Malaysia Airports Berhad (MAB) dan pelbagai elemen lain…jadi, Perdana Menteri ada cadangan dan menyatakan kepada saya bahawa beliau akan membawa perkara itu ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat nanti, khusus untuk itu.”Apakah kawalan kita hanya terhadap pintu masuk rasmi dan tidak termasuk pangkalan pasukan keselamatan? Bukan saja tentera, tetapi juga polis. Kita ada pangkalan gerak udara TUDM dan banyak pangkalan lain. Buat masa sekarang, fokus kita adalah kawalan pintu masuk,” katanya.Beliau berkata demikian selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama Menteri KDN dan Sambutan Hari Deepavali di Lunas di sini pada Sabtu.Saifuddin berkata, KDN bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) turut memperketat langkah keselamatan di pintu masuk dan keluar negara, khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan insiden penangkapan pembantu juruterbang di Jakarta sebelum ini.”Antara inisiatif yang kita laksanakan ialah pemeriksaan 100 peratus terhadap destinasi yang dikenal pasti popular dalam kalangan penyeludup.”Pemeriksaan bagasi dilakukan 100 peratus, manakala penumpang turut menjalani pemeriksaan badan secara menyeluruh. Jadi, tentunya langkah ini akan memberi kesan kepada sindiket yang menjalankan aktiviti penyeludupan,” katanya.
Sindiket dadah eksploitasi aset TUDM: KDN teliti kawalan keselamatan termasuk pangkalan tentera, polis
Malay News | https://www.malay.news/sindiket-dadah-eksploitasi-aset-tudm-kdn-teliti-kawalan-keselamatan-termasuk-pangkalan-tentera-polis/