London: Pengurus Tottenham Hotspur, Thomas Frank menerima dengan hati terbuka sindiran ‘Tottenham bosan’ daripada penyokong pasukannya sendiri selepas diikat tanpa jaringan oleh Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Gtech Community, awal pagi tadi.
Perlawanan yang berakhir 0-0 itu menyaksikan Frank melalui kepulangan bercampur emosi ke London barat selepas tujuh tahun membimbing Brentford sebelum menyertai Tottenham pada awal musim ini.
Jurulatih berusia 52 tahun itu menerima sambutan hangat daripada penyokong tuan rumah sebelum sepak mula, malah turut menerima hadiah daripada seorang peminat Brentford sebagai tanda penghargaan atas jasanya membawa kelab itu ke Liga Perdana Inggeris pada 2021.
Namun suasana bertukar dingin apabila penyokong Tottenham mula meluahkan rasa tidak puas hati terhadap corak permainan pasukan dengan melaungkan sindiran ‘bosan, bosan Tottenham’ pada babak kedua.
Tottenham gagal mencatat sebarang percubaan tepat ke sasaran sepanjang perlawanan sebelum masa kecederaan, sekali gus mencerminkan persembahan hambar yang menguji kesabaran penyokong pasukan pelawat.
“Ia kelihatan seperti penyokong tidak berpuas hati dan itu adalah perkara yang adil,” kata Frank selepas perlawanan sambil mengakui pasukannya perlu memperbaiki aspek serangan.
Menurut Frank, walaupun kecewa dengan kegagalan mencipta peluang berkualiti, beliau tetap melihat sisi positif dari sudut disiplin bertahan ketika berdepan pasukan tuan rumah yang kuat di gelanggang sendiri.
Tottenham kini menghuni tangga ke-12 liga selepas separuh musim, sekali gus menambah tekanan ke atas Frank yang masih bergelut memberikan impak positif sejak mengambil alih pasukan.
Pendekatan konservatif Frank dilihat berbeza dengan falsafah menyerang yang sinonim dengan Tottenham, selain berbeza dengan gaya agresif bekas pengendali, Ange Postecoglou.
Postecoglou sebelum ini dipecat meskipun berjaya menamatkan kemarau kejuaraan Tottenham selama 17 tahun dengan menjulang trofi Liga Europa musim lalu.
Percubaan tepat tunggal Tottenham hadir pada minit akhir menerusi Richarlison, namun sepakan penyerang Brazil itu mudah ditangkap penjaga gol Brentford, Caoimhin Kelleher, sekali gus menamatkan rekod 137 perlawanan liga tanpa keputusan seri dan jaringan buat kelab London utara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




