Sistem integrasi JPN-TH mudahkan urusan kematian jemaah haji

Sistem integrasi JPN-TH mudahkan urusan kematian jemaah haji

MAKKAH – Setiap musim haji bukan sahaja membawa kisah ibadah dan pengorbanan, tetapi juga amanah besar dalam menguruskan urusan kematian jemaah haji Malaysia yang dikendalikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan penuh teliti dan empati.

Bagi musim haji 1447 Hijrah, tugas itu dipikul oleh Ketua Unit Pendaftar Kelahiran/Kematian (Pendaftar Hedjaz) dari Jabatan Pendaftaran Negara, Salasiah Masron, yang mengakui pengalaman pertama bertugas di Tanah Suci memberi kesan emosi mendalam, terutama ketika mengendalikan kes kematian pertama melibatkan jemaah haji Malaysia.

Menurutnya, peranan Pendaftar Hedjaz adalah di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Peruntukan-Peruntukan Khas) 1975 [Akta 152] yang melibatkan urusan menerima laporan kelahiran serta kematian jemaah haji Malaysia yang berdaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH).

“Kami menerima laporan kematian di Tanah Suci, mendaftarkannya serta merekodkan butir-butir berkaitan sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat JPN.

“Pada masa ini, kami menggunakan sistem integrasi antara Sistem Tabung Haji dan Sistem Kematian Hedjaz JPN yang membolehkan maklumat dari Tanah Suci diterima terus oleh JPN di Malaysia,” katanya kepada media di sini.

Beliau berkata, sebaik sahaja maklumat lengkap dari Tanah Suci diterima melalui Sistem Kematian Hedjaz JPN, sijil kematian boleh dikeluarkan di mana-mana pejabat JPN di seluruh negara.

Menurutnya, proses itu jauh lebih pantas berbanding sebelum tahun 2013 apabila segala urusan dilakukan secara manual, termasuk mengimbas dan menghantar dokumen menerusi e-mel.

“Proses dahulu agak lambat disebabkan semua dilaksanakan secara manual. Sekarang, dokumen yang diimbas hanya sebagai sokongan kerana sistem sudah berintegrasi sepenuhnya,” katanya.

Salasiah berkata, dua pegawai JPN ditempatkan di Tanah Suci sepanjang musim haji, iaitu masing-masing di Madinah, Mohd Saifulzaman Mahdi, dan di Makkah bagi memastikan urusan berkaitan dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Alhamdulillah, pihak maktab dan Unit Perhubungan Hospital TH banyak membantu. Borang yang sampai kepada kami biasanya sudah lengkap bersama dokumen sokongan yang diperlukan.

“Waris di Malaysia tidak perlu bimbang kerana kebajikan jemaah haji dijaga dengan sangat baik oleh pihak TH,” katanya.

Menurut beliau, antara inisiatif yang dilaksanakan JPN adalah menyantuni waris jemaah di tanah air yang meninggal dunia dengan menyediakan sesi temu janji khas bagi urusan penyerahan sijil kematian di pejabat JPN.

Katanya, sijil kematian amat penting kerana diperlukan untuk urusan seperti tuntutan insurans, faraid serta pengurusan harta arwah.

“Kita akan menghubungi waris di Tanah Air yang didaftarkan dalam sistem TH dan bertanya pejabat JPN mana yang mereka selesa untuk mengambil sijil kematian tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Salasiah turut menjelaskan perbezaan pengurusan kematian semasa musim haji dan di luar musim haji.

Menurutnya, ketika musim haji terdapat petugas Pendaftar Hedjaz di Tanah Suci, namun bagi jemaah umrah, urusan perlu dilakukan melalui pihak konsulat.

Mengulas pengalaman peribadinya, Salasiah mengakui kes kematian pertama yang dikendalikan memberi kesan emosi kepadanya.

“Saya rasa terkejut kerana beberapa hari sebelum itu, saya baru menghantar borang daftar kematian ke maktab sebagai persediaan. Apabila mendapat berita kematian tersebut, ia benar-benar menyentuh emosi saya.

“Tapi akhirnya saya kembali kepada soal qada dan qadar. Apa yang berlaku sudah ditentukan ALLAH SWT dan daripada situ saya belajar untuk lebih tenang menguruskan kes seterusnya,” katanya.

Menurutnya, arwah meninggal dunia pada hari Jumaat, menyebabkan terdapat sedikit kekangan kerana hari bekerja di Arab Saudi berbeza dengan Malaysia.

“Bagaimanapun, pihak JPN sudah bersedia dan sebaik sahaja hari bekerja di Malaysia bermula pada Isnin, proses terus dilakukan dan waris segera dihubungi,” katanya.

Tambah beliau, sijil kematian pertama itu turut diserahkan sendiri oleh Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias, kepada waris duyufurrahman di Tanah Air sebagai tanda keprihatinan terhadap keluarga jemaah yang diuji kehilangan insan tersayang di Tanah Suci.

 

 

Scroll to Top