Skandal 1MDB: Jho Low mohon pengampunan Trump

Skandal 1MDB: Jho Low mohon pengampunan Trump
Skandal 1MDB: Jho Low mohon pengampunan Trump

Jho Low masih diburu pihak berkuasa hingga kini. Foto Agensi

WASHINGTON – Ahli kewangan Malaysia dalam buruan dan dituduh oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai dalang salah satu skandal penipuan kewangan terbesar dalam sejarah, Jho Low didakwa memohon pengampunan Presiden Donald Trump, baru-baru ini.

Menurut laman web Jabatan Kehakiman (DoJ), permohonan atas nama Taek Jho Low itu adalah untuk ‘pengampunan selepas selesai menjalani hukuman’.

Status permohonannya masih menunggu keputusan (pending) dan tiada butiran lanjut lain didedahkan.

Jho Low yang berdepan pertuduhan menyeleweng kira-kira AS$4.5 bilion (RM17.7 bilion) daripada 1MDB pada 2018 masih bebas.

Pendakwa raya persekutuan mendakwa Jho Low dengan bantuan dua bekas jurubank Goldman Sachs Group, membayar kira-kira AS$2 bilion (RM7.8 bilion) dalam bentuk rasuah kepada pegawai asing.

AS$1 bilion (RM3.9 bilion) dalam bentuk habuan pula dipercayai diberikan kepada peserta skim tersebut dengan Jho Low sendiri didakwa memperoleh sekurang-kurangnya AS$1.42 bilion (RM5.58 bilion).

Salah seorang bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner mengaku bersalah dan memberi keterangan semasa perbicaraan 2022 terhadap bekas rakan sekerjanya, Roger Ng yang kemudiannya disabitkan kesalahan.

Leissner memberitahu juri bahawa Jho Low memberi jaminan kepadanya bahawa Trump yang ketika itu merupakan Presiden terlibat secara langsung dalam rundingan untuk menamatkan siasatan jenayah AS berkaitan skandal 1MDB.

Leissner berkata, Jho Low juga mendakwa kononnya telah berbincang tentang perkara itu dengan Jared Kushner, menantu Trump dan penasihat kanan Rumah Putih ketika itu serta mendapat sokongan untuk satu perjanjian yang membolehkan mereka mengelakkan pertuduhan jenayah berkaitan penglibatan mereka dengan 1MDB.

Leissner pernah memohon pengampunan pada tahun lalu.

Dia bagaimanapun diarahkan mula menjalani hukuman penjara selama dua tahun pada Februari lalu atas peranannya dalam kes penipuan tersebut. – Agensi

 

 

Scroll to Top