KERAJAAN Perak berharap jaguh pecut negara kelahiran negeri itu, Muhammad Azeem Fahmi, mampu menukar pingat gangsa yang dimenanginya sebelum ini kepada pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, Muhammad Azeem yang dijadualkan beraksi dalam acara kegemarannya, 100 meter (m), dilihat mempunyai potensi besar untuk menghadiahkan pingat kepada kontinjen negara.
Menurut beliau, prestasi semasa atlet berkenaan berada pada tahap yang memberangsangkan selain menerima suntikan motivasi selepas diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang pada majlis pembukaan temasya tersebut.
“Kalau sebelum ini Azeem berjaya meraih pingat gangsa, mungkin kali ini ada kilauan pingat yang lebih baik yang kita harapkan daripadanya.
“Saya difahamkan beliau berada pada tahap prestasi yang cukup baik untuk menghadapi Sukan Asia kali ini dan mungkin ada peluang untuk menukar pingat gangsa kepada emas. Itu harapan kita dan sama-sama kita doakan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.
Khairudin berkata, kira-kira 33 atlet dari Perak kini berada di Jepun bagi membawa cabaran Malaysia pada temasya berkenaan.
Menurutnya, sebahagian besar atlet negeri itu beraksi dalam acara berpasukan seperti hoki, kriket dan ragbi, selain beberapa atlet yang bertanding dalam acara individu termasuk olahraga.
“Sudah tentu kita berharap semua atlet Perak yang bertanding di Sukan Asia dapat mempamerkan prestasi terbaik dan berjaya menyumbang pingat kepada negara.
“Kerajaan negeri seperti biasa akan memberikan insentif tertentu kepada atlet yang berjaya meraih pingat, tertakluk kepada keputusan dan kelulusan yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan atlet Perak yang kebanyakannya masih berada pada peringkat awal pertandingan, khususnya dalam acara berpasukan.
Khairudin turut berharap semua atlet kelahiran Perak dapat mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dan berjuang habis-habisan demi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
