Team 117 Johor dinobat juara Kategori Terbuka MAT 2025

Team 117 Johor dinobat juara Kategori Terbuka MAT 2025

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiga pasukan sukan lasak pacuan empat roda (4×4) dinobatkan sebagai juara dalam kejohanan Malaysia Adventure Trophy (MAT) Kelantan 2025, yang melabuhkan tirainya hari ini.

Pengarah Operasi, Atan Aris berkata, kejohanan peringkat kebangsaan bermula 24 Disember lalu mendapat penyertaan lebih 20 kenderaan dari seluruh negara membabitkan 150 peserta berusia antara 17 hingga 65 tahun.

Menurutnya, Team 117 dari Johor diketuai Tan Eng Joo dan Tan Choon Hong dinobatkan sebagai juara Kategori Terbuka selepas berjaya menamatkan 30 ‘special stages’ (SS) yang mencabar sepanjang kejohanan yang berlangsung di Gua Musang, Kelantan.

Katanya, pasukan Sandkat iaitu gabungan Team 76 (diketuai Tan Wai Siang dan Eddy Wong Yeong Min) serta Team 77 (diketuai Mohan Biswas dan Francis Lee Kok Seng) pula menjuarai kategori Trophy iaitu keseluruhan.

“Kategori Trophy menggunakan format satu pasukan membabitkan dua kenderaan dengan penilaian lebih tertumpu kepada tugasan berpasukan, strategi dan kerjasama pasukan.

“Peserta kategori Trophy melalui 25 tugasan berpasukan dan dibahagikan kepada tiga kelas utama iaitu Short Wheel Base (T1), Long Wheel Base (T2) dan Pick-Up (T3),” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi setiap kelas itu, Atan berkata, Trophy T1 dimenangi oleh pasukan Sandkat manakala Trophy T2 dimenangi Team Ghadong dan Trophy T3 (Team Lacar Jembal).

Beliau berkata, penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Jajahan Gua

Musang, Mohd Roshdi Ismail.

Katanya, penganjuran kali pertama di Kelantan itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi tempatan termasuk KESEDAR, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, penganjuran itu turut memberi limpahan ekonomi positif kepada komuniti setempat melalui sektor pelancongan, penginapan dan perkhidmatan sokongan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top