Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung individu yang tidak menghormati prinsip Rukun Negara sebagai tidak layak digelar warga Malaysia amat bertepatan dengan sikap segelintir pihak yang disifatkannya sebagai ‘kaduk naik junjung’.
Kepentingan menghayati & menghormati prinsip Rukun Negara
Menerusi hantaran di Facebook, Asyraf menyatakan titah baginda jelas menekankan kepentingan menghayati serta menghormati prinsip Rukun Negara yang diperkenalkan pada 31 Ogos 1970 sebagai asas perpaduan negara.
“Titah Tuanku YDP Agong jelas: siapa yang tidak menghormati Rukun Negara, tidak layak bergelar warganegara.
“Amat tepat buat golongan ‘kaduk naik junjung’ yang lupa daratan, lupa adab dan batas,” katanya.

Rukun Negara garis panduan hidup rakyat Malaysia
Terdahulu, Sultan Ibrahim menyeru semua pihak supaya menghayati setiap prinsip Rukun Negara dan menjadikannya sebagai amalan serta garis panduan hidup sebagai rakyat Malaysia.
“Jika ada mana-mana rakyat Malaysia yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara tersebut, saya menasihati agar dia tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Isnin.
Sebelum ini, Asyraf turut mendakwa Tony lupa adab dan batas terhadap institusi raja serta menyifatkan tindakannya sebagai biadab.
Menurut beliau, apabila titah Sultan dipersenda, ia bukan lagi soal kebebasan bersuara sebaliknya satu bentuk sikap yang melampaui batas.
Sumber: Facebook Asyraf Wajdi




