
Zulkifli berkata, penubuhan Parti Wawasan Negara merupakan satu langkah penting dalam memastikan perjuangan melalui gerakan ‘Reset’.
JOHOR BAHRU – Gerakan ‘Reset’ Johor bersedia mentransformasikan keseluruhan 26 bahagian untuk menyertai Parti Wawasan Negara, kata penyelarasnya, Datuk Zulkifli Bujang.
Zulkifli berkata, penubuhan Parti Wawasan Negara merupakan satu langkah penting dalam memastikan perjuangan melalui gerakan ‘Reset’ dapat diteruskan dengan lebih tersusun, berkesan dan mempunyai platform politik yang sah untuk membawa agenda perubahan kepada negara.
Jelas beliau, transformasi gerakan ‘Reset’ di seluruh negara ke dalam Parti Wawasan Negara mampu memperkukuhkan lagi perjuangan tersebut.
“Dengan kekuatan jentera di 26 bahagian di seluruh Johor, kami bersedia untuk meneruskan perjuangan bersama kepimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin bagi membina Malaysia yang lebih harmoni, progresif, makmur serta memastikan suara dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan.
“Perjuangan ini tidak pernah terhenti. Ia hanya memasuki fasa baharu dengan wadah yang lebih jelas dan tersusun,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berpandangan, gerakan ‘Reset’ berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dengan aspirasi sama iaitu ingin melihat lahirnya Malaysia yang lebih baik, adil dan sejahtera.
Bagaimanapun jelasnya, perjuangan untuk melakukan pembaharuan tidak dapat dicapai sepenuhnya tanpa sebuah wadah politik yang mampu menterjemahkan gagasan tersebut kepada dasar dan tindakan kepada rakyat.
“Atas sebab itu, Parti Wawasan Negara bukan sekadar parti politik, tetapi kesinambungan kepada perjuangan ‘Reset’ yang telah digerakkan.
“Kedua-duanya berkongsi matlamat sama iaitu memperbetulkan sistem yang semakin memerlukan pembaharuan.
“Selain itu, membina Konsensus Nasional Baharu yang mampu menyatukan rakyat dari pelbagai latar belakang demi masa depan negara,” ujarnya lagi.
Hamzah pada Sabtu mengumumkan bahawa ‘Reset’ akan bergerak di bawah Parti Wawasan Negara dalam usaha memperkukuh kerjasama politik bersama pelbagai blok di negara ini.
Menurut beliau, Parti Wawasan Negara diwujudkan sebagai wadah penyatuan yang akan bekerjasama dengan Pas dan parti-parti lain bagi membentuk kesefahaman politik.
Ahli Parlimen Larut itu menambah, kerjasama tersebut penting bagi memastikan kekuatan politik yang lebih tersusun dan stabil dalam menghadapi cabaran semasa.



