Trauma hampir lemas hantui Maya

Trauma hampir lemas hantui Maya

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kembali menyarung kostum ikonik sebagai Puteri menerusi filem Duyung Legenda Aurora, aktres jelita Maya Karin tidak menafikan wujud perasaan gementar biarpun watak itu sudah sebati dengan dirinya.

Mengakui pernah berdepan detik cemas hampir lemas sebelum ini, Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 46, berkata, dia perlu bersikap jujur mengenai kemampuan dirinya ketika menjayakan babak dalam air.

“Saya ada sedikit ketakutan dan rasa gementar kerana pernah mengalami situasi hampir lemas sebelum ini, saat penggambaran filem pertama 17 tahun lalu.

“Pihak produksi ada meminta saya menyelam sedalam lima meter ketika latihan di kolam renang. Namun, selepas beberapa tahun, saya akui tidak mampu melakukannya, lebih-lebih lagi apabila memakai sut duyung.

“Saya hanya boleh menyelam sedalam tiga meter. Jadi, saya memohon maaf dan berterus terang kepada mereka bahawa untuk pergi lebih dalam adalah sangat sukar,” katanya.

Menurut Maya, walaupun berdepan cabaran itu, penggambaran tetap berjalan lancar, malah latihan hanya dilakukan sekali sebelum mereka terus ke lokasi sebenar di laut.

Selain faktor trauma, Maya turut berdepan cabaran cuaca yang tidak menentu di Langkawi.

“Saya tidak pernah ke Langkawi dengan cuaca sedingin itu. Babak dalam kolam pada waktu malam terasa sangat sejuk.

“Nasib baik saya berada dalam karakter Puteri yang ketika itu dalam keadaan lemah selepas terdampar, jadi ia sedikit sebanyak membantu lakonan.

“Malah, kejadian ribut pasir juga berlaku sehingga balkoni bilik hotel saya penuh dengan pasir,” katanya.

Berkongsi mengenai perbezaan ketara berbanding filem Duyung, Maya meluahkan rasa lega apabila kostum yang digayakan kali ini jauh lebih praktikal dan mesra pelakon.

Katanya, pengalaman ketika filem pertama dahulu agak menyeksakan apabila dia memerlukan masa sekurang-kurangnya empat jam untuk bersiap dan sut itu tidak boleh dibuka seharian.

“Kali ini, aspek keselesaan diambil kira bukan sahaja untuk pelakon, tetapi juga kru. Kostum sekarang lebih fleksibel dan hanya mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit untuk dipakai.

“Jika berlaku kecemasan, ia boleh dibuka dengan mudah. Malah, saya juga menggunakan kerusi roda selepas memakai sut supaya kru hanya perlu menolak saya terus ke laut tanpa perlu menyusahkan mereka mengangkat saya,” katanya.

Bercerita mengenai gandingan bersama barisan pelakon, Maya menyifatkan naskhah kali ini sebagai sebuah ‘reunion’ yang menyeronokkan biarpun ketiadaan Datuk Awie.

Menurutnya, suasana di set penggambaran sangat santai, tiada tekanan dan masing-masing profesional tanpa sebarang sikap ‘diva’.

“Saya seronok dapat berkumpul semula dengan pelakon lama seperti Saiful Apek dan Yasmin Hani. Apek awal-awal lagi minta tak mahu masuk air, jadi dia banyak berehat dan melepak di tepi kolam saja.

“Bagi pelakon baharu seperti Anna Jobling, dia ada suarakan rasa gementar pada mulanya. Tetapi, saya katakan padanya, dia bekas perenang Selangor, jadi tiada apa yang perlu dipertikaikan. Dia perenang yang bagus,” katanya.

Mengakhiri bicara, Maya berharap filem ini mendapat sokongan dan menghiburkan penonton terutama peminat filem tempatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top