KOTA BHARU – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan bahawa wakil Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pernah mengajukan soalan mengenai calon Perdana Menteri yang akan diketengahkan oleh parti itu dalam satu pertemuan di kedutaan berkenaan.
![[VIDEO] Abdul Hadi dedah kedutaan AS pernah ‘risik’ calon PM daripada Pas [VIDEO] Abdul Hadi dedah kedutaan AS pernah ‘risik’ calon PM daripada Pas](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/09/05/3637581.webp)
Abdul Hadi (tengah) dipimpin ketika tiba di Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa pada Sabtu.
Menurut beliau, soalan tersebut diajukan secara langsung kepadanya selepas dua pimpinan kanan Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, terlebih dahulu menghadiri pertemuan dengan pihak kedutaan berkenaan.
”Dia tanya, ‘Siapa Pas cadang jadi Perdana Menteri?’ Saya kata, ‘Siapa Amerika setuju?’ Tergamam dia!
“Saya jawab, ‘Siapa Amerika setuju siapa dia? Amerika sokong siapa dia?’ Itu jawapan daripada saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, pertemuan tersebut berlaku ketika Pas masih menganggotai Pakatan Rakyat (PR), bersempena siri lawatan Presiden AS ketika itu, Barack Obama ke Malaysia.
Menurutnya, Takiyuddin bersama Ahmad Samsuri yang ketika itu berperanan sebagai Ketua Politiknya telah memenuhi jemputan ke Kedutaan AS untuk bertemu dengan wakil diplomatik negara berkenaan.
Dalam pertemuan itu, beliau mendakwa pimpinan Pas dimaklumkan mengenai kemungkinan berlaku perubahan pentadbiran kerajaan selain pihak AS menyatakan kesediaan untuk memberikan bantuan.
Bagaimanapun, Abdul Hadi menegaskan kedua-dua pemimpin Pas itu kekal berpegang kepada prinsip parti dan tidak terpengaruh dengan sebarang tawaran yang dikemukakan.
“Kedua-dua mereka istiqamah dan tidak terpengaruh,” katanya.
Beliau berkata, pihak Kedutaan AS kemudian meminta untuk mengadakan pertemuan secara langsung dengannya yang turut ditemani bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.
Menurut Abdul Hadi, persoalan mengenai siapa yang bakal diangkat sebagai Perdana Menteri bukanlah perkara utama yang perlu diberi tumpuan pada ketika itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa nama Tun Dr Mahathir Mohamad ada disebut dalam perbincangan berkenaan dan mendapat maklum balas positif daripada pihak kedutaan.
“Yang sibuk sangat tentang siapa bakal jadi Perdana Menteri itu mengapa?
“Apabila tiba masanya, akan ada calon yang ditentukan. Yang penting, kita buat kerja.
“Kita selesaikan perpecahan, selesaikan krisis, kemudian kembali menjalankan tugas masing-masing,” katanya.
