Wajah pucat, tidak ceria petanda Ahmad Azreeq pergi buat selamanya – Rakan

Wajah pucat, tidak ceria petanda Ahmad Azreeq pergi buat selamanya – Rakan

‎am@hmetro.com.my

‎

‎Kuala Terengganu: “Arwah berubah sikap, Saya dapat tahu dia sudah tiada pada Jumaat lalu dan kali terakhir kami bertemu tiga hari sebelum kejadian dan perasan wajahnya kelihatan pucat.

‎

‎”Kelakuannya juga berbeza kerana dia lebih banyak berdiam diri, sedangkan sebelum ini seorang yang ceria,” kata Muhamad Alif Ikhwan Nor Affendi Sham, 18, rakan Allahyarham Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar,19.

‎

‎Dia yang mengenali arwah sejak lima tahun lalu tidak menyangka perubahan sikap rakannya itu adalah petanda awal pemergiannya.

‎

‎”Ahmad Azreeq seorang yang baik dan mudah membantu rakan ketika dalam kesusahan dan tidak pernah berkira.

‎

“Motosikal kami sama dan pernah merancang untuk menunggang bersama-sama namun hasrat itu tidak kesampaian. Saya juga tidak boleh lupa kenangan kami pergi ke Tasik Kenyir bersama-sama sebelum ini,” katanya ditemui selepas upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, di sini, jam 2.50 petang, hari ini.

‎

‎Seorang lagi rakan arwah, Mohamad Syakir Firdaus, 19, berkata, dia mengenali arwah sejak di bangku sekolah rendah sebelum meneruskan persahabatan ketika sama-sama bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir, Kuala Nerus.

‎

‎Katanya, arwah seorang yang sangat baik dan sering bertanya khabar rakan selain ‘ringan tulang’ dengan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.

‎

‎”Saya nampak kawan-kawan kongsi di status WhatsApp arwah hilang. Saya memang terkejut juga.

‎

‎”Kami doakan arwah semoga rohnya ditempatkan bersama kalangan para solihin,” katanya.

‎

Ahmad Azreeq Zafreen hilang ketika dalam perjalanan ke Cameron Highland, Pahang sebelum mayatnya ditemui bersama motosikalnya di dalam semak di Kampung Bukit Jeruk, Besut, petang Ahad lalu.

‎

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top