
Seorang wanita kritikal selepas lehernya terjerut tali ketika berlakon sebagai hantu tergantung. Foto Agensi
TAIPEI – Seorang wanita hampir menemui ajal selepas lehernya terjerut ketika berlakon sebagai hantu tergantung.
Kejadian itu berlaku di sebuah ‘escape room’ bertemakan hospital di Songde Road di daerah Xinyi pada akhir minggu lalu.
‘Hantu’ dikenali sebagai Ng, 29, menjadi mangsa kesilapan operasi apabila tali yang digunakan tanpa mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan menjerut lehernya hingga menyebabkan wanita itu pengsan dan mengalami serangan jantung.
Keadaannya hanya disedari pengunjung yang melihat muka ‘hantu’ bertukar ungu kebiruan selepas Ng tidak lagi bernafas.
Bantuan kecemasan segera berjaya menyelamatkannya dan dia kemudiannya dibawa ke Taipei Medical University Hospital dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Sementara itu, ahli keluarga Ng mendedahkan dia pernah mengadu tentang prop buatan sendiri yang agak berbahaya.
Susulan insiden tersebut, enam individu telah dipanggil pihak berkuasa untuk membantu siasatan.
‘Escape room’ itu juga diarahkan supaya menghentikan operasi selepas tiga pelanggaran keselamatan utama dikenal pasti. – Agensi



