Warga emas aktif, komuniti harmoni

Warga emas aktif, komuniti harmoni

 

KLANG – Dalam usaha memperkasa komuniti warga emas agar kekal aktif, sihat dan berdikari, seramai 26 orang pelajar Semester 6 Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi Kepujian, iCEPS UiTM Puncak Alam telah menganjurkan program jalinan komuniti bertemakan “Towards an Active and Harmonious Older Adults Community”.

Program yang berlangsung di Klinik Kesihatan Bandar Botanik, Klang ini melibatkan penyertaan 32 orang warga emas tempatan. Inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada kesedaran kesihatan, pencegahan risiko jatuh serta kepentingan aktiviti fizikal yang selamat dalam kalangan warga emas.

Malaysia kini sedang menuju ke arah status negara tua. Seiring peningkatan usia, warga emas lebih mudah mengalami kelemahan otot, masalah keseimbangan badan dan risiko jatuh. Namun, keadaan ini boleh dikurangkan melalui pendidikan kesihatan, saringan fizikal dan senaman yang bersesuaian.

Program dimulakan dengan sesi pendaftaran, sarapan pagi dan sesi perkongsian kesihatan bertajuk “Pencegahan Jatuh” yang disampaikan oleh Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Bandar Botanik iaitu Dr. Shahraanee A/P Palaniyappan.

Dalam perkongsian tersebut, beliau menceritakan tentang kesan kecederaan akibat jatuh serta langkah mudah yang boleh diamalkan di rumah untuk membantu warga emas kekal aktif dan selamat. Antara penekanan utama ialah kepentingan persekitaran rumah yang selamat, pergerakan badan yang betul dan amalan senaman secara konsisten.

Selepas sesi tersebut, para peserta menjalani saringan fisioterapi yang dikendalikan oleh pelajar iCEPS UiTM di bawah seliaan Dr. Noor Azliyana binti Azizan, Pensyarah Kanan Jabatan Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM.

Saringan yang dijalankan merangkumi penilaian komposisi badan, fungsi memori, status kesihatan, kekuatan otot, fleksibiliti, keseimbangan, mobiliti dan tahap kecergasan jantung. Antara ujian yang dilakukan termasuk Hand Grip Strength, Biceps Curl, Five Times Sit-to-Stand, Timed Up and Go, Single Leg Stance serta 2-Minute Step Test.

Ujian ini membantu mengenal pasti tahap kekuatan fizikal dan risiko jatuh dalam kalangan peserta.

Selain itu, ukuran lilit pinggang dan lilit betis turut dilakukan bagi menilai tahap kesihatan fizikal serta risiko sarkopenia, iaitu kehilangan jisim dan kekuatan otot yang lazim berlaku apabila usia meningkat. Selepas saringan, peserta diberi peluang mendapatkan konsultasi bersama doktor dan pelajar fisioterapi.

Melalui sesi ini, mereka dapat memahami keputusan saringan serta menerima nasihat kesihatan yang sesuai dengan keadaan masing-masing.

Suasana program menjadi lebih meriah apabila para peserta menyertai sesi chairobic yang dikendalikan oleh Coach Shah. Aktiviti senaman berintensiti rendah ini disesuaikan khas untuk warga emas kerana boleh dilakukan secara duduk dan lebih selamat untuk mereka yang mempunyai tahap keseimbangan berbeza.

Walaupun ringkas, sesi ini membantu merangsang koordinasi badan, meningkatkan pergerakan sendi dan menyuntik semangat peserta untuk terus aktif. Keceriaan dan kesungguhan yang ditunjukkan membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada warga emas, malah menjadi platform pembelajaran penting kepada pelajar fisioterapi. Mereka berpeluang mengasah kemahiran komunikasi, menjalankan penilaian fizikal serta memahami keperluan sebenar komuniti warga emas.

Pada masa yang sama, program sebegini turut membantu mengurangkan rasa terasing dalam kalangan warga emas melalui interaksi sosial yang positif dan suasana komuniti yang menyokong.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah dan sesi bergambar bersama peserta, pelajar, kakitangan Klinik Kesihatan Bandar Botanik serta pihak penganjur.

Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Dr. Saiful Adli bin Bukry, Ketua Pusat Pengajian iCEPS UiTM, Fakulti Sains Kesihatan atas sokongan yang diberikan sepanjang pelaksanaan program. Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada Muslim Care Malaysia Society atas kerjasama dan sumbangan dalam menjayakan program ini.

Secara keseluruhannya, program ini membuktikan bahawa gabungan pendidikan kesihatan, saringan fisioterapi, sokongan komuniti dan aktiviti sosial mampu membantu melahirkan warga emas yang lebih aktif, yakin dan harmoni.

Artikel ini ditulis Nur Hidayah Zainal Fitri (Pelajar Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, iCEPS UiTM Puncak Alam)

Mesti Baca

Scroll to Top