redzuan.muharam@hmetro.com.my
Putrajaya: Lapan sahabat lelaki ini ‘sekepala’ bukan hanya kerana berkongsi status yang sama sebagai orang kurang upaya (OKU).
Sebaliknya, mereka serasi bersama kerana berbakat dalam bidang muzik hingga sepakat menganggotai kumpulan kugiran diberi nama Wheel Busker.
Salah seorang ahlinya, Nur Bazli Arola, 38, yang berperanan sebagai penyanyi utama berkata, Wheel Busker ditubuhkan pada tahun lalu dan mereka bernaung di bawah Persatuan Orang Kurang Upaya (PROCJAYA).
Nur Bazli yang kudung tangan kiri selepas terbabit dalam kemalangan ketika berumur empat tahun berkata, dia turut serta dalam Wheel Busker kerana minat dan mahu mengetengahkan bakat bersama OKU lain.
Bapa tiga anak yang bekerja sebagai penolong pegawai teknologi maklumat itu berkata, penyertaan dalam kumpulan kugiran itu juga kesempatan baik baginya untuk menyerlahkan potensi diri selepas mengharungi kehidupan mencabar antaranya pernah berdepan ejekan ketika di sekolah hanya kerana berstatus OKU.
“Kami terdiri daripada orang OKU berlainan kategori dan bergabung kerana ada minat yang sama dalam bidang muzik.
“Dalam Wheel Busker ada tiga penyanyi, salah seorangnya saya dan lima lagi bermain alat muzik.
“Kami kenal dengan satu sama lain pun kerana bernaung di bawah PROCJAYA dan rakan saya Azzwar (Muhammad Azzwar Hassan Asaari, 33) yang juga pemain gitar adalah pencetus hingga tertubuhnya kumpulan kugiran ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Taman Warisan Pertanian, dekat sini.
Menurut Nur Bazli, buat masa ini, mereka akan berkumpul di sebuah pejabat dekat sini yang dijadikan ‘markas’ latihan pada waktu terluang.
Meskipun baru setahun ditubuhkan, Bazli berkata, mereka sudah mendapat kepercayaan selepas diundang membuat persembahan di sekitar kawasan ini antaranya di bazar Ramadan juga program membabitkan OKu.
Selain itu, Nur Bazli berkata, dia dan rakannya turut mendapat sokongan daripada Perbadanan Putrajaya yang menyediakan tempat dan mengundang membuat persembahan dalam program anjuran agensi berkenaan.
“Ada juga dapat undangan membuat persembahan di universiti dan setakat ini, kami dapat maklum balas positif malah keluarga masing-masing pun beri sokongan.
“Cuma biasalah orang lebih hairan tengok OKU kudung tangan macam saya ini berbanding rakan lain yang berkerusi roda.
“Tapi setakat ini seronok saja buat persembahan di hadapan orang ramai kerana kami OKU jadi jangkaan dekat kami juga tidak tinggi.
“Harapan saya semoga Wheel Busker bertahan supaya dapat mencungkil dan ketengahkan lebih ramai bakat OKU tidak kira yang mengalami kecacatan fizikal, penglihatan mahupun lemah dalam pembelajaran,” katanya yang juga atlet ping pong dan pernah mewakili Sabah dalam kejohanan Sukan Para Sukan Malaysia (SUKMA).
Sementara itu, rakannya, Muhammad Azzwar Hassan Asaari, 33, berkata, dia mahir bermain gitar sejak tamat persekolahan dan menyertai Wheel Busker kerana minatnya dalam bermain alat muzik selain mengisi masa terluang.
Muhammad Azzwar berkata, peluang membuat persembahan bersama rakan OKU lain satu pengalaman yang berharga dalam mengetengahkan bakat terpendam.
“Rata-rata kami adalah atlet dan belas atlet… kami sertai kumpulan ini kerana cari pengalaman selain mahu hilangkan rasa gugup dan cemas dengan buat apa yang kami minat.
“Alhamdulillah, ada penganjur beri peluang dan ia sedikit sebanyak bantu meningkatkan keyakinan kami berdepan orang ramai.
“Saya berharap kami terus diberi peluang oleh penganjur acara di sekitar kawasan ini atau mana mana untuk lokasi untuk membuat persembahan.
“Kredit juga harus diberikan kepada Perbadanan Putrajaya kerana bagi peluang dan tempat untuk tunjukkan bakat seperti dalam acara People Market yang dianjurkan hari ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




