Isteri kepada penyanyi Ameng iaitu Sabariah Zakaria menafikan dakwaan dirinya menjadi punca suaminya tidak hadir memberi sokongan kepada anak tirinya , Azeva Natasha di program Talk To My Manager.
Menerusi perkongsian semula di TikTok, Sabariah meluahkan rasa kecewa apabila ada segelintir pihak memutarbelit kenyataan Ameng sehingga menimbulkan salah faham orang ramai.
BACA: “Saya Berterima Kasih Kepada Polis Tangkap Saya & Tak Makan Rasuah” – Ameng
Menurut Sabariah, sebelum ini Ameng sudah menjelaskan sebab dia tidak hadir setiap minggu ke konsert berkenaan, namun ada segelintir pihak menyebarkan cerita tidak benar.
“Dunia semakin tua yang semakin akhir zaman, sepatutnya semua orang menjadi lebih terbuka pemikirannya. Ada satu video sebelum ini, Ameng sudah terangkan mengapa dia tidak pergi setiap minggu di konsert TTMM.
“Tetapi ada segelintir pihak yang memutar belit cerita dan menggunakan tajuk yang membuatkan orang lain berfikir sebaliknya. Ada yang cakap saya yang tidak benarkan Ameng pergi konsert TTMM, apa kena mengena dengan saya. Azeva anak Ameng,” katanya.
Sementara itu, Sabariah berkata dia tidak akan memaafkan individu yang melemparkan fitnah berkenaan. Jelasnya lagi, dia tidak pernah menghalang Ameng menjalankan tanggungjawab sebagai bapa.
“Kalau orang yang cakap itu ada depan saya, makan pelempang dah. Kau yang cakap itu, selagi tidak minta maaf dengan aku, aku tak maafkan kau dunia akhirat. Sebab itu fitnah.
“Saya tidak pernah menyekat untuk Ameng sokong anaknya. Kalau cakap saya tak bagi, sudah dari awal saya tidak benarkan. Saya yang suruh dia pergi sokong,” katanya.
Sebelum ini, Ameng menjelaskan keputusannya untuk tidak kerap hadir konsert TTMM bukan disebabkan konflik keluarga tetapi kerana tidak mahu kehadirannya menjadi perhatian kerana program tersebut melibatkan Azeva serta bekas isterinya, Datuk A. Aida.




