LEE Zii Jia semakin hampir menamatkan penantian untuk beraksi di final pertamanya tahun ini apabila pemain perseorangan profesional negara itu melangkah ke separuh akhir Terbuka Artik sebentar tadi.
Kejayaan itu hadir selepas Zii Jia mempamerkan aksi meyakinkan untuk menewaskan pilihan kedua kejohanan dari Perancis, Christo Popov, dalam aksi suku akhir.
Pemain di ranking ke-56 dunia itu tidak memberi banyak ruang kepada Popov apabila menguasai set pertama dengan kemenangan 21-11.
Walaupun pemain Perancis yang menghuni ranking kedua dunia itu cuba memberikan tentangan lebih sengit pada set kedua, Zii Jia kekal tenang untuk menoktahkan kemenangan 21-16 dalam tempoh 38 minit.
Keputusan itu menyaksikan Zii Jia mencatat kemenangan ketiga berturut-turut ke atas Popov, sekali gus mengukuhkan keyakinannya untuk terus melangkah lebih jauh dalam kejohanan berkenaan.
Lebih penting, kemaraan itu menjadi petanda positif buat Zii Jia yang sedang berusaha mendapatkan semula rentak permainan terbaiknya selepas berdepan masalah kecederaan.
Pencapaian di Finland itu turut mengulangi kejayaannya mara ke separuh akhir Terbuka Kanada pada Julai lalu, sekali gus memberikan suntikan semangat untuk memburu pencapaian lebih baik kali ini.
Zii Jia kini hanya selangkah lagi untuk mara ke final, namun cabaran seterusnya dijangka menuntut konsistensi lebih tinggi apabila dia bakal berdepan pemenang pertemuan antara pemain Denmark, Anders Antonsen, atau wakil China, Hu Zhe An, pada separuh akhir esok.
Peluang itu pastinya mahu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Zii Jia bagi meneruskan momentum kemenangan dan membuka lembaran baharu dalam usahanya kembali ke kelompok pemain terbaik dunia.



