redzuan.muharam@hmetro.com.my
Ipoh: “Saya bersyukur kerana Allah SWT masih panjangkan umur anak, cuma tak tahu sampai bila.
“Selagi bernyawa, saya akan ikhtiar untuk anak walaupun sedar hakikat yang penyakitnya tiada ubat.”
Demikian kata Nur Natasya Rasid, 30, ketika berkongsi kisah anaknya, Mardhiah Shahadah Abdul Hadi, 9, yang menderita barah mata tahap lima dan sudah sembilan tahun melawan penyakit itu.
Berkongsi perkembangan Mardhiah, Nur Natasya berkata, selain buta mata kiri dan rabun di sebelah kanan, anaknya itu juga ada masalah pendengaran.
Bagaimanapun, Nur Natasya berkata, Mardhiah hanya dapat menggunakan alat bantuan pendengaran sebelah kanan saja kerana tidak cukup dana membeli set lengkap peranti berkenaan (kanan dan kiri).
“Sudah tiga tahun Mardhiah bergantung dengan alat bantuan pendengaran tetapi hanya dapat menggunakan pada sebelah kanan saja kerana masalah kewangan.
“Alat digunakan sebelum ini sudah bermasalah dan kos baik pulih sudah mencukupi cuma perancangannya nak beli sebelah kiri juga untuknya.
“Kos alat itu dianggarkan mencecah RM7,000 dan harganya naik berbanding RM5,600 ketika mula beli dulu.
“Menurut pakar, penggunaan alat itu perlu disegerakan kerana dikhuatiri mengganggu saraf pendengaran yang tinggal jika tidak digunakan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Nur Natasya, buat masa ini, dia menerima bantuan sebanyak RM650 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Bagaimanapun, jumlah itu tidak mencukupi walaupun suami, Muhammad Iqmal Ramli, 30, juga bekerja di premis alat ganti.
“Dulu, kami mencari rezeki dengan menjual sate ayam, puding dan dadih RM1 di gerai dekat Taman Klebang Jaya, di sini.
“Sekarang sudah tak berniaga lagi, jadi saya dengan suami bersama berniaga puding caramel bagi menambah pendapatan. Namum, buat masa ini ambil tempahan pada hujung minggu saja.
“Saya pun tak boleh bekerja kerana mengalami kemurungan dengan psikosis dan tekanan pasca-trauma (PTSD) sebelum ini pun ada buat permohonan kad orang kurang upaya (OKU) serta rujuk dengan pakar psikiatri,” katanya.
Sebagai ibu, Nur Nataya hanya mampu mengharapkan keajaiban dan mendoakan yang terbaik buat Mardhiah iaitu anak ketiga daripada empat beradik.
“Sudah hampir sedekad pun Mardhiah berjuang dan saya nampak dia anak yang kuat. Cuma saya hanya melihat tapi dia yang menanggungnya.
“Syukur ada suami yang beri sokongan kepada saya walaupun dia bukan bapa kandung Mardhiah,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu Mardhiah boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 7634138054 atas nama Muhammad Iqmal Ramli.
Sejak Ogos 2019, Harian Metro menyiarkan kisah Nur Natasya membesarkan Mardhiah (ketika itu berusia 22 bulan) diuji dengan barah mata hingga menyebabkan pancaindera kirinya buta dan rabun di sebelah kanan.
Selain barah, Mardhiah juga mengalami masalah usus, paru-paru kronik dan kaki bengkok menyebabkan pergerakannya terbatas hingga terpaksa menggunakan alat sokongan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




