Kerajaan terus memperkukuh perlindungan ruang hijau di ibu negara menerusi pewartaan sembilan lagi kawasan lapang sekitar Kuala Lumpur bagi memastikan pembangunan bandar dilaksanakan secara seimbang tanpa mengorbankan kawasan rekreasi awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata pewartaan baharu itu dilaksanakan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.
Menurut beliau, sembilan kawasan lapang berkenaan membabitkan keluasan keseluruhan 5.15 hektar atau 51,502 meter persegi.

Beliau berkata, dengan pertambahan itu, sebanyak 552 lot kawasan lapang kini diwartakan di Kuala Lumpur, meliputi keluasan keseluruhan 468.36 hektar atau 4.68 juta meter persegi.
Jumlah keluasan tersebut bersamaan kira-kira 655 padang bola sepak atau hampir 1.4 kali ganda keluasan Taman Botani Perdana.
“Pewartaan bukan sekadar proses pentadbiran. Langkah ini memperkukuh perlindungan terhadap kawasan lapang supaya terus kekal sebagai ruang awam untuk aktiviti rekreasi, riadah dan kegunaan komuniti, selain mengurangkan risiko kawasan itu terdedah kepada penukaran guna tanah pada masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Hannah berkata, setiap kawasan lapang yang diwartakan menyediakan lebih banyak ruang untuk kanak-kanak bermain, keluarga menjalankan aktiviti rekreasi, warga emas melakukan aktiviti riadah serta komuniti menikmati persekitaran bandar yang lebih hijau, sihat dan selesa.
Antara sembilan kawasan lapang yang baharu diwartakan termasuk Lot 82448 dan Lot 82443 di Mukim Batu berhampiran Tasik Desa ParkCity, Lot 202030 di Mukim Setapak berhampiran Bayu Sentul Condominium serta beberapa lokasi lain di sekitar Mukim Petaling, Taman Melati, United Point Mall dan Tasik Permaisuri.
Artikel lain: “Pemimpin masa depan tidak lahir secara kebetulan, mereka perlu dibentuk” -Hannah Yeoh
Orang ramai juga boleh menyemak maklumat serta senarai kawasan lapang yang telah diwartakan menerusi portal MyHijau di laman rasmi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.
Menurut Hannah, akses terbuka itu membolehkan penduduk Kuala Lumpur menjadi mata dan telinga kerajaan dalam memantau serta menjaga kawasan hijau bandar.
Pewartaan sembilan kawasan lapang baharu itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan pembangunan Kuala Lumpur terus seimbang tanpa mengorbankan ruang rekreasi awam, kesejahteraan komuniti dan daya tahan bandar terhadap perubahan iklim.
Sumber: FB Hannah Yeoh





