Asyraf Wajdi wajar letak jawatan hingga siasatan RCI TH selesai – Ahli MPT Bersatu

Asyraf Wajdi wajar letak jawatan hingga siasatan RCI TH selesai – Ahli MPT Bersatu

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin menggesa Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya mempertimbangkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) sehingga keseluruhan proses siasatan berkaitan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) selesai.

Menurut Afif, tindakan itu perlu diambil sebagai langkah menjaga integriti institusi awam selain memastikan tiada persepsi negatif timbul sepanjang proses siasatan berlangsung.

Beliau berkata, Asyraf Wajdi perlu memikul tanggungjawab moral susulan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri yang mengendalikan portfolio Hal Ehwal Agama dalam sebahagian tempoh pentadbiran yang menjadi antara perkara diteliti dalam laporan RCI berkenaan.

Bagaimanapun, Afif menegaskan bahawa sebarang bentuk liabiliti terhadap mana-mana individu tetap perlu diputuskan berdasarkan proses perundangan yang sewajarnya.

Namun katanya, keadaan itu tidak bermakna mana-mana pihak boleh bertindak seolah-olah tiada isu yang perlu dijelaskan.

“Demi menjaga integriti institusi awam serta memastikan tiada persepsi wujud campur tangan atau pengaruh terhadap mana-mana siasatan atau keputusan pendakwaan yang mungkin dibuat oleh pihak berkuasa, Datuk Dr. Asyraf Wajdi wajar melepaskan jawatan sebagai Pengerusi MARA sehingga semua proses siasatan berkaitan selesai.
“UMNO tidak boleh memilih prinsip mengikut keadaan. Ketika melibatkan lawan politik, mereka begitu lantang menuntut peletakan jawatan atas alasan integriti.
“Kini apabila pemimpin mereka sendiri dikaitkan dengan tempoh pentadbiran yang menjadi subjek dapatan sebuah RCI, prinsip yang sama mesti terpakai. Integriti bukan slogan yang digunakan secara terpilih,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam masa sama, Afif turut mencabar bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim supaya tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan beliau pernah menerima surat daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2021 yang dikatakan membebaskan dirinya daripada sebarang penglibatan.

Menurutnya, Abdul Azeez perlu mendedahkan surat berkenaan kepada umum bagi membolehkan rakyat mengetahui kedudukan sebenar isu tersebut.

Beliau berkata, pengesahan mengenai kewujudan surat berkenaan semata-mata tidak mencukupi untuk membersihkan seseorang daripada sebarang dakwaan salah laku tanpa melalui siasatan yang telus.

“Namun begitu, itu tidak cukup untuk membersihkan beliau daripada sebarang dakwaan salahlaku selagi mana siasatan yang telus di laksanakan.
“Rakyat berhak mengetahui status sebenar perkara ini dan sebarang spekulasi hanya boleh dihentikan melalui penjelasan terbuka daripada beliau sendiri dan proses siasatan yang bebas dan bersih,” jelasnya.

Afif turut menggesa SPRM serta Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya memastikan sebarang siasatan dan keputusan berkaitan pendakwaan dibuat secara profesional, bebas serta tanpa sebarang layanan istimewa kepada mana-mana pihak.

Katanya, tiada individu yang sepatutnya dianggap kebal daripada tindakan undang-undang sekiranya terdapat asas untuk siasatan dijalankan.

“Pendedahan laporan RCI TH telah mengesahkan bahawa wujud kelemahan serius dalam tadbir urus dan pengurusan institusi yang diamanahkan menjaga simpanan umat Islam.
“Rakyat kini menuntut akauntabiliti, bukannya alasan,” tambahnya lagi.

Artikel lain: RCI Tabung Haji: Kebenaran terbukti! Asyraf Wajdi luah syukur, saman RM5 juta bakal menanti pemfitnah

Afif berkata, isu berkenaan perlu ditangani secara terbuka kerana melibatkan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan institusi yang menjaga kepentingan serta amanah kewangan umat Islam.

Sumber: Facebook Dr. Afif Bahardin

Scroll to Top