Agrobank sasar 700,000 penjaja peroleh manfaat Agro Penjaja-i

Agrobank sasar 700,000 penjaja peroleh manfaat Agro Penjaja-i

PUTRAJAYA – Agrobank menyasarkan 700,000 penjaja dan usahawan mikro seluruh dunia mendapat manfaat daripada produk baharu yang dilancarkan iaitu Agro Penjaja-i.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, inisiatif itu menawarkan pembiayaan RM100,000 dan khidmat nasihat serta simpanan pengurusan kewangan secara digital.

“Kami menawarkan pinjaman antara RM5,000 hingga RM100,000 bagi membantu penjaja-penjaja mengembangkan perniagaan, memberi peralatan dan memantapkan perniagaan masing-masing,” katanya pada majlis pelancaran Agro Penjaja-i di sini pada Rabu.

Majlis yang diadakan di Wisma tani itu dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurutnya, Agrobank juga memberi hibah ataupun keuntungan kepada simpanan dalam Agrobank Akaun Penjaja-i dan serta dilindungi oleh takaful serendah RM10 setahun.

“Kita juga memberi perkhususan ‘laluan hijau’ kepada pemprosesan Ar-Rahnu sehingga RM300,000 dengan kadar yang istimewa serta mendapat sedikit profit daripada simpanan penjaja,” jelas beliau.

Tengku Ahmad Badli berkata, antara terma dan syarat yang perlu dipenuhi adalah penjaja perlu berdaftar dengan gabungan penjaja dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menjalankan aktiviti perniagaan.

Peserta juga berpeluang mengikuti latihan percuma secara dalam talian dan fizikal menerusi program celik kewangan serta celik usahawan selain menerima latihan bimbingan serta pemantauan selama tiga bulan.

Dalam masa sama, Agro Penjaja-i menyediakan khidmat nasihat dan pembiayaan bagi pensijilan halal mengikut garis panduan Syariah serta pakej DuitNow QR SoundBox pada harga serendah RM114.

Sebagai institusi kewangan pembangunan yang komited terhadap pembangunan sektor agromakanan negara, Agrobank akan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik komuniti usahawan tempatan melalui penyediaan penyelesaian kewangan yang inklusif, progresif dan berteraskan prinsip Syariah.

Terdahulu, Mohamad dalam ucapannya menyifatkan inisiatif Agro Penjaja-i selari dengan inspirasi Kerajaan Madani untuk membantu golongan penjaja dan usahawan menempuh pelbagai cabaran akibat krisis tenaga global ketika ini.

“Apabila berlaku perubahan global ini semua pihak termasuk pengerusi, pegawai-pegawai bank dan pegawai di kementerian juga mencari jalan bagaimana untuk memudah acara bagi menggerakkan ekonomi terutamanya ekonomi golongan B40 dan M40,” jelasnya.

Ujar Mohamad, kerajaan sedar golongan penjaja memainkan peranan yang sangat penting dalam rangkaian ekonomi negara.

“Mereka bukan saja menyediakan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan kepada keluarga malah menjadi tulang belakang kepada ekonomi komuniti setempat,” ujar beliau.

Scroll to Top