IPOH: Polis mengesyaki tiga kilang di sini yang diserbu Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Batalion 18 PGA pada Isnin lalu menerusi Op Taring E-Waste berselindung di sebalik lesen menjalankan aktiviti memproses sisa elektronik itu tanpa kebenaran.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, berdasarkan siasatan awal, ketiga-tiga kilang tersebut mempunyai lesen daripada pihak berkuasa tempatan, namun tiada lesen khas untuk memproses sisa elektronik.
“Mungkin mereka berselindung menjalankan operasi perniagaan secara normal seperti kotak (proses), logam dan kitar semula.
“Namun, untuk memproses sisa elektronik anda perlu mempunyai lesen khas. Sekiranya tidak ia satu kesalahan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Briged Utara PGA di sini hari ini.
Katanya, aktiviti memproses sisa elektronik tanpa lesen bukan sahaja menyalahi undang-undang malah memberi kesan besar terhadap alam sekitar dan masyarakat.
Balveer Singh memaklumkan, pada Isnin lalu, PGA dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan telah menyerbu tiga kilang yang disyaki menjalankan aktiviti memproses sisa elektronik tanpa kelulusan sekitar Ipoh.
“Polis berjaya menahan dua lelaki warga tempatan dan lapan lelaki warga Myanmar serta empat wanita Myanmar yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun.
“Sisa elektronik campuran yang dirampas sebanyak 120,220 kilogram (kg), pelbagai mesin dan jentera yang digunakan untuk memproses sisa elektronik serta pelbagai jenis kenderaan seperti sebuah treler dan dua trak angkat susun,” katanya.
Katanya. nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM9.394 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 18(1), 25(1), 34A dan 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN




