Angka kematian meningkat, lebih 21,000 pelajar, kakitangan pendidikan Palestin terkorban

Angka kematian meningkat, lebih 21,000 pelajar, kakitangan pendidikan Palestin terkorban
Angka kematian meningkat, lebih 21,000 pelajar, kakitangan pendidikan Palestin terkorban

Angka kematian pelajar dan kakitangan pendidikan Palestin terus meningkat akibat serangan berterusan Israel. Foto AFP

RAMALLAH – Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Palestin mengumumkan jumlah pelajar serta kakitangan pendidikan yang terkorban sejak 7 Oktober 2023 kini meningkat kepada 21,701 orang di seluruh Semenanjung Gaza, Tebing Barat, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Menurut data kementerian itu dikeluarkan pada Selasa, angka korban berkenaan merangkumi 20,647 pelajar dan 1,054 guru serta staf pendidikan ekoran serangan berterusan oleh Israel yang menyasarkan hak untuk mendapat pendidikan.

Menurut kementerian itu, lebih 179 sekolah kerajaan di seluruh Semenanjung Gaza musnah sepenuhnya, manakala lebih 105 sekolah kendalian Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) menjadi sasaran bedilan sehingga mengalami kerosakan teruk serta kemusnahan.

Ia berkata lebih 63 bangunan universiti turut musnah sepenuhnya.

Di Tebing Barat, sembilan universiti dan kolej menjadi sasaran serbuan serta vandalisme berulang, selain serangan berterusan ke atas beberapa buah sekolah selain tindakan peneroka haram yang menyasarkan golongan pelajar.

Berdasarkan data berkenaan, seramai 128 pelajar sekolah dan 39 mahasiswa universiti terkorban di Tebing Barat.

Selain itu, seramai 861 pelajar sekolah dan lebih 278 mahasiswa universiti cedera, manakala 421 pelajar sekolah serta lebih 487 mahasiswa universiti ditahan.

Di Semenanjung Gaza pula, lebih 19,101 pelajar sekolah dan 1,379 mahasiswa universiti terkorban, manakala lebih 28,419 pelajar sekolah serta 3,017 mahasiswa universiti mengalami kecederaan.

Kakitangan pendidikan turut mengalami kesan teruk akibat konflik berkenaan.

Di Tebing Barat, enam kakitangan sekolah terkorban dan 25 lagi cedera, manakala lebih 171 yang lain ditahan.

Sementara itu di Semenanjung Gaza, seramai 802 kakitangan sekolah dan 246 kakitangan universiti terkorban, manakala 3,291 kakitangan sekolah serta lebih 1,493 kakitangan universiti dilaporkan cedera.- Bernama-Wafa

Mesti Baca

Scroll to Top