KUBANG PASU: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini ditutup kira-kira dua jam malam tadi selepas sebuah bagasi yang ditinggalkan di ruang pemeriksaan disyaki mengandungi bahan letupan dan dadah.
Susulan itu, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah digerakkan selepas menerima maklumat kira-kira pukul 5.55 petang.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah bagasi berwarna merah jambu ditinggalkan di ruangan pemeriksaan.
“Setelah mendapati tiada sesiapa yang menuntut, beg itu dibawa untuk dimbas. Setelah imbasan dibuat, pihak Kastam mendapati imej berkenaan mengandungi bahan disyaki dadah dan bahan letupan.
“UPB menjalankan penilaian risiko di sekeliling kawasan bangunan dengan mengutamakan keselamatan nyawa sebelum melaksanakan proses meneutralkan bagasi berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, bagasi itu berjaya dibuka kira-kira pukul 11 malam dan pemeriksaan mendapati tiada unsur-unsur bahan letupan ditemui.
“Sebaliknya, bagasi itu hanya mengandungi pakaian, bekas berisi minyak, pengering rambut berwarna hitam, syampu dan losen,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial berhubung penemuan bahan letupan dan dadah di Kompleks ICQS berkenaan. – UTUSAN




