Padang Besar, Thailand: Kerajaan Perbandaran Padang Besar menarik perhatian ramai selepas memuat naik gambar kompleks sukan yang baharu siap dibina, namun menampilkan reka bentuk balapan larian yang pelik, lapor MustShareNews.
Gambar yang dimuat naik pada malam Krismas (24 Disember) itu menunjukkan sebuah stadium bernilai 30 juta baht Thailand (kira-kira RM3.84 juta) dengan balapan larian yang mempunyai sudut tepat 90 darjah.
Situasi itu menjadi tular di media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan netizen mengenai kemungkinan kos tambahan untuk membaiki balapan berkenaan.
Rakaman imej memaparkan pegawai kerajaan melakukan pemeriksaan di kompleks itu yang menunjukkan padang bola sepak dikelilingi balapan larian berwarna merah.
Berbeza dengan balapan larian konvensional yang berbentuk bujur, balapan di stadium ini mempunyai sudut tajam yang tidak menepati standard atletik biasa.
Netizen pantas mempersoalkan reka bentuk berkenaan sehingga ada yang berseloroh bahawa ia adalah satu-satunya balapan larian ‘segi empat’ seumpamanya di dunia.
Beberapa pengguna media sosial turut mempersoalkan sama ada projek berkenaan lulus pemeriksaan standard selain meminta pihak berkuasa menyemak semula kualiti pembinaannya.
Menjawab kritikan itu, pihak berkuasa menjelaskan bahawa balapan berkenaan bukan untuk kegunaan atletik profesional sebaliknya hanya disediakan untuk aktiviti berjalan kaki.
Menurut mereka, keutamaan diberikan kepada pembinaan padang bola sepak yang menepati standard antarabangsa bagi kegunaan penduduk di perbandaran berkenaan.
Pihak berkuasa mendakwa bandar itu memerlukan fasiliti sukan sendiri kerana sebelum ini terpaksa bergantung kepada pihak swasta yang mempunyai had masa penjadualan tertentu.
Faktor kekangan saiz tanah yang terhad menyebabkan balapan larian tidak dapat dibina mengikut standard bujur dan ia hanya ditambah sebagai ‘bonus’ di sekeliling padang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




