Bayi 5 hari positif 2 jenis dadah: Stabil, tiada simptom ketagihan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Bayi perempuan lima bulan yang disahkan positif dua jenis dadah masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) kini dalam keadaan stabil serta tidak menunjukkan sebarang simptom ketagihan.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Kasuadi Hussin berkata, bayi berkenaan juga sudah tidak lagi bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dan boleh boleh menyusu seperti biasa selepas menunjukkan perkembangan kesihatan yang baik.

“Pada masa sama, Unit Kebajikan Sosial Perubatan HRPZ II turut menjalankan penilaian bagi menentukan sama ada bayi berkenaan sesuai diserahkan kepada ahli keluarga atau pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

Pada 12 Ogos lalu, media melaporkan, seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan lima hari lalu didapati positif jenis dadah amphetamine dan benzodiazepines.

Dua jenis bahan terlarang itu dikesan ketika bayi itu menjalani saringan air kencing di NICU HRPZII pada 6 Ogos lalu.

Lebih mengejutkan apabila siasatan mendapati bayi itu terdedah kepada bahan terlarang berkenaan ketika masih dalam kandungan.

Media hari ini melaporkan, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata ujian air kencing mendapati wanita berusia 30-an itu hanya positif benzodiazepines.

Beliau berkata, ibu kepada bayi perempuan berusia lima hari yang disahkan positif dua jenis dadah mendakwa mengambil ubat penenang untuk masalah ‘anxiety’ menyebabkan dua beranak itu positif dadah.

Wanita itu mendakwa mengambil ubat penenang untuk merawat masalah ‘anxiety’ yang dihadapinya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top