Gudang simpan 1,200 gulung jerami terbakar, operasi pemadaman sudah lebih 12 jam

am@hmetro.com.my

Jitra: Operasi memadam kebakaran sebuah gudang yang menyimpan 1,200 gulung jerami dan peralatan elektrik di Pertubuhan Peladang Kawasan C2, Kerpan Kampung Tempayan Pecah, Ayer Hitam, di sini, masih berlanjutan selepas lebih 12 jam.

Setakat jam 3.30 petang hari ini, anggota bomba menghadapi kesukaran untuk memadam kebakaran berikutan angin kuat menyebabkan api makin marak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran jam 11.06 malam tadi.

“Operasi turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Simpang Empat, Perlis dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Air Hitam, Kampung Sanglang, Megat Dewa, Kodiang, Pokok Sena, Seberang Nyonya dan Tanah Merah selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Pada mulanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dimaklumkan mengenai kebakaran membabitkan kandang lembu.

“Namun setiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan gudang penyimpanan jerami kelas B dipercayai milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Ia menyimpan 1,200 gulung jerami dan peralatan elektrik, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Noor Azhar berkata, operasi hari ini diteruskan dengan tambahan sepasukan anggota dari BBP Alor Setar, PBS Kampung Berjaya dan Sanglang.

Beliau berkata, kemusnahan dianggarkan 80 peratus dan terdapat ternakan lembu di lokasi berkenaan.

“Komander Operasi melaporkan, kerja-kerja overhaul masih diteruskan dengan merobohkan dinding kilang serta meleraikan timbunan sisa jerami bagi memudahkan kerja pemadaman dilakukan secara ‘direct attack’.

Beliau berkata, proses itu dilaksanakan dengan bantuan dua unit jentolak bagi memudahkan akses pasukan pemadam serta membolehkan kerja pemadaman dan overhaul dilaksanakan dengan lebih berkesan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top