Bekas pegawai didakwa 'songlap' wang bayar balik pinjaman MARA

Bekas pegawai didakwa 'songlap' wang bayar balik pinjaman MARA

am@hmetro.com.my

Muar: Bekas pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 25 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang bayar balik pinjaman milik empat peminjam kepada agensi itu bernilai lebih RM18,000 sejak lima tahun lalu.

Tertuduh, Nor Hasmal Hazwani Mohd Kamal, 40, yang baru habis berpantang mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dikemukakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.

Mengikut kesemua pertuduhan, ibu kepada tiga anak didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang berjumlah RM18,316 yang didepositkan oleh empat peminjam ke dalam akaun miliknya bagi tujuan pembayaran balik pinjaman.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Pejabat MARA daerah Tangkak antara 11 Mac 2021 hingga 2 November 2024.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi dan Nur Ameerah Allaudden manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM10,000 setiap pertuduhan selain syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,000 bagi kesemua pertuduhan serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada Isnin pertama setiap bulan.

Kes disebut semula pada 8 April ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Dalam pada itu, tertuduh akan dihadapkan sekali lagi di mahkamah sama pada Rabu dan Khamis ini bagi mendengar baki 41 lagi pertuduhan berkaitan kesalahan terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top