AYER KEROH – Keputusan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan bersama parti-parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) adalah satu keputusan yang baik, kata Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar bagaimanapun mengakui ia bukan satu perjalanan yang mudah, namun keputusan itu bukan sesuatu yang sia-sia.
“Alhamdulillah, pada tahun 2022, kita diberikan mandat. Jadi dengan kekuatan induk Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), kita ambil keputusan bersama dalam gabungan lebih besar.
“Kita berunding dan saya ucap terima kasih serta penghargaan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bertekad untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan yang terus mendapat sambutan luar biasa daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Datuk Seri Abang Johari dengan beberapa parti lain yang besar. Alhamdulillah, ia tidak sia-sia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada Sabtu.
Perdana Menteri turut mengakui bukan mudah untuk melakukan setiap perubahan seperti yang diuar-uarkan sesetengah pihak kerana perlu mengambil kira pelbagai faktor.
“Ini bukan PKR yang menjadi induk yang memerintah semuanya, tapi parti yang mesti berunding.
“Bila kita pegang pemerintahan, semua harus dipertimbangkan. Bukan saja oleh kita, tapi juga rakan-rakan lain,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak tergesa-gesa dalam menuntut perubahan.
Tambahnya, jika tersilap percaturan ia boleh menyebabkan ketidakstabilan politik dan negara.
“Sebab itu jangan gopoh. Kita boleh merentas dan memecahkan tembok penghalang, tapi tidak menjamin kestabilan politik dan keselamatan negara.
“Jadi kepada rakan-rakan yang menuntut perubahan, silakan, tetapi terima kenyataan bahawa perubahan telah dilakukan,” katanya.
