BERSATU bincang keputusan PAS putus kerjasama, nilai kedudukan dalam PN malam ini

BERSATU bincang keputusan PAS putus kerjasama, nilai kedudukan dalam PN malam ini

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pemimpin BERSATU malam ini mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan hubungan parti itu dengan PAS, selain kedudukan mereka dalam Perikatan Nasional (PN).

Mesyuarat dipengerusikan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin dijangka turut meneliti sekali gus menetap satu pendirian jelas parti itu, di sebalik keputusan PAS memutuskan kerjasama politik dengan mereka.

Kehadiran Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh pada jam 8.05 malam itu disambut ratusan penyokong BERSATU.

Turut sama hadir dalam mesyuarat itu, Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Terdahulu, ratusan penyokong BERSATU berhimpun di hadapan pekarangan bangunan yang menempatkan ibu pejabat parti itu di sini.

Laungan ‘Pertahan PN!’ kuat kedengaran dalam kalangan penyokong yang hadir, selain laungan soladariti ‘Hidup Abah’ yang dizahirkan kepada Muhyiddin.

Sebarang pendirian BERSATU malam ini khususnya berkaitan kedudukan mereka dalam PN dan keputusan kerjasama politik dengan PAS dijangka mempengaruhi sebarang kerjasama terjalin antara empat parti utama dalam PN.

Semalam, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu secara rasmi memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua pihak.

Berikutan keputusan itu, Muhyiddin dalam kenyataan balasnya memaklumkan bahawa BERSATU, sebagai parti pengasas PN akan terus kekal dalam gabungan berkenaan dan memperkukuh teras perjuangannya.

Keputusan terbaru parti Islam itu sekali gus meletakkan PN kini berada dalam kancah perpecahan yang serius.

Ia dilihat bakal menjejaskan kerjasama dua parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top