Teka teki mengenai bila Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan dibubarkan semakin menuju noktah apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi bayangan pengumuman itu mungkin dibuat dalam tempoh dua minggu lagi.
Bayangan berkenaan muncul ketika suhu politik Melaka semakin memanas, khususnya selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam menggesa Ab Rauf mempercepatkan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, tempoh yang sebelum ini disebut sebagai empat kali Jumaat kini hanya berbaki dua kali Jumaat.
“Tak lama lagi (akan bubar). Saya kata hari itu empat kali Jumaat lagi, (tetapi kini) dah tinggal dua kali Jumaat saja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di DUN Sungai Udang, termasuk majlis minum pagi dan sesi ramah mesra bersama penduduk Kampung Bertam Ulu, di sini, hari ini.
Turut hadir, EXCO Kanan Negeri yang juga Penyelaras Pembangunan DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin.
Kenyataan terbaharu itu menguatkan lagi spekulasi bahawa pembubaran DUN Melaka bakal diumumkan menjelang akhir bulan ini, sekali gus membuka laluan kepada PRN bagi menentukan mandat baharu rakyat negeri berkenaan.

Ia juga hadir sehari selepas Ahmad Zahid meminta Ab Rauf tidak menangguhkan terlalu lama pengumuman pembubaran DUN, dengan alasan rakyat, khususnya golongan muda, perlu diberikan ruang untuk menentukan hala tuju dan masa depan Melaka.
Perkembangan itu menjadikan tempoh dua minggu akan datang cukup signifikan dalam percaturan politik negeri, ketika parti politik dijangka semakin rancak menyusun strategi dan mengatur gerak menjelang pilihan raya.
Buat masa ini, tarikh tepat pembubaran DUN masih belum diumumkan.
Namun, isyarat yang diberikan Ab Rauf hari ini cukup jelas untuk menambah debaran apabila Melaka kini seolah olah sedang menghitung detik menuju gelanggang pilihan raya.
Sumber: Harian Metro (Amir Mamat)
