LATEST

BMS Holdings catat peningkatan hasil 8.5 peratus kepada RM92.05 juta

BMS Holdings catat peningkatan hasil 8.5 peratus kepada RM92.05 juta

PETALING JAYA: BMS Holdings Berhad (BMS Holdings), peruncit dan pengedar jubin, permukaan batu, peralatan mandian serta kelengkapan dapur, mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 8.5 peratus kepada RM92.05 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2026, berbanding RM84.81 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu didorong terutama oleh sumbangan lebih kukuh daripada jualan berkaitan projek, sekali gus mencerminkan permintaan berterusan terhadap produk kumpulan berkenaan.

Baca juga: Malaysia-Indonesia teliti program Desa Berkembar, beri peluang usahawan dua negara

Keuntungan kasar turut meningkat 16.3 peratus kepada RM33.30 juta berbanding RM28.62 juta sebelumnya, manakala margin keuntungan kasar bertambah baik kepada 36.2 peratus daripada 33.8 peratus.

Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai susut kepada RM7.08 juta berbanding RM7.35 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan selepas cukai berkurangan kepada RM5.10 juta daripada RM5.39 juta.

Prestasi itu dipengaruhi peningkatan perbelanjaan operasi termasuk kos berkaitan pekerja, susut nilai dan pengangkutan, susulan usaha kumpulan memperkukuh keupayaan operasi bagi menyokong pengembangan perniagaan.

Dalam perkembangan berkaitan, BMS Holdings berkata, semua resolusi yang dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kedua syarikat telah mendapat kelulusan pemegang saham.

Mesyuarat itu merupakan AGM pertama syarikat sejak disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 8 Disember 2025.

Antara resolusi diluluskan termasuk pemilihan semula Ang Kwee Peng dan Lee Kok Chuan sebagai pengarah, pembayaran yuran serta manfaat pengarah dan mandat am untuk menerbitkan saham baharu sehingga 10 peratus daripada jumlah saham terbitan.

Kelulusan mandat berkenaan memberikan fleksibiliti kepada kumpulan untuk mendapatkan pembiayaan bagi menyokong pelaksanaan inisiatif pertumbuhan pada masa hadapan.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 tahun kewangan 2026, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM355.8 juta dan keuntungan bersih RM17.2 juta.

BMS Holdings turut mengagihkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.14 sen sesaham pada 9 Oktober lalu, menjadikan jumlah dividen bagi TK2026 sebanyak 0.34 sen sesaham.

Pengarah Urusannya, Ang Kwee Peng berkata, kumpulan memulakan TK2027 dengan prestasi keuntungan kasar lebih baik dan peningkatan margin, disokong jualan projek yang lebih tinggi serta permintaan berterusan terhadap produknya.

Beliau berkata, kumpulan kekal memberi tumpuan kepada peluasan kehadiran pasaran menerusi pembukaan Galeri Senova Bath & Kitchen di Johor Bahru serta usaha sama bagi mengembangkan operasi ke kawasan utara Semenanjung Malaysia.

“Pembukaan bilik pameran runcit kami di Gelang Patah pada Disember ini dijangka mengukuhkan lagi kehadiran pasaran kumpulan.

“Kami percaya inisiatif ini, disokong keadaan industri yang menggalakkan, akan memperkukuh prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan,” katanya.

Mengulas prospek, BMS Holdings berkata, kedudukan kumpulan disokong pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026 serta perkembangan aktiviti pembinaan negara.

Nilai kerja pembinaan yang dilaksanakan meningkat 8.8 peratus kepada RM47.8 bilion pada suku kedua 2026, mencerminkan aktiviti pembangunan yang terus berkembang.

Selain itu, langkah Belanjawan 2027 termasuk pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama yang layak serta jaminan pembiayaan perumahan sehingga RM20 bilion dijangka menyokong pemilikan rumah dan permintaan terhadap jubin, peralatan mandian serta kelengkapan dapur.

Dalam usaha memperkukuh pertumbuhan, kumpulan akan terus memperluas rangkaian bilik pameran dan keupayaan pengedaran, selain menaik taraf kemudahan bagi meningkatkan kecekapan serta kapasiti operasi.

Kumpulan juga akan memperluas penawaran produk permukaan berasaskan reka bentuk yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
Pada masa sama, usaha sama dengan Wee Tatt Traders Sdn. Bhd. menerusi Jubin BMS (Wee Tatt) Sdn. Bhd., yang dimiliki sebanyak 60 peratus oleh BMS Holdings, menandakan langkah pengembangan kumpulan ke utara Semenanjung Malaysia dan dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan pada masa hadapan.-UTUSAN

The post BMS Holdings catat peningkatan hasil 8.5 peratus kepada RM92.05 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news