Kementerian Pendidikan Tinggi mengumumkan permohonan laluan khas kemasukan pelajar lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan institusi tahfiz ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan dibuka bermula 30 Jun ini.
Permohonan akan terus ke universiti
Menerusi sidang media khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Azlinda Azman, beliau menyatakan permohonan tidak akan dibuat melalui sistem UPUOnline sebaliknya terus kepada universiti terlibat kerana persediaan sistem sedia ada telah berjalan sejak tahun lalu.
Ujarnya, keputusan itu dibuat susulan ketetapan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar luar sistem pendidikan kebangsaan seperti UEC dan tahfiz.
“Jadi bagi mengikut ketetapan seperti yang ditetapkan oleh Jemaah Menteri, maka kita semua di peringkat universiti telah pun beberapa kali mengadakan libat urus dan insya-ALLAH kita akan membuka permohonan secara terus kepada universiti yang menawarkan program-program tersebut bermula 30 Jun bagi membolehkan permohonan itu boleh berlaku pada tahun ini,” katanya.
Beberapa universiti terlibat
Dalam pada itu, bagi lepasan institusi tahfiz, antara universiti terlibat ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknologi MARA dan Universiti Sains Islam Malaysia dengan program seperti Dakwah, Al-Quran dan As-Sunnah, Pendidikan Tahfiz serta Pengajian Islam.
Sementara itu, bagi lepasan SMPC dan UEC pula, empat program ditawarkan merangkumi Pengajian Bahasa Cina, Linguistik Cina, Pengajian Cina dan Bahasa Cina dengan Pendidikan di Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Wajib lulus BM & Sejarah
Mengulas lanjut, Azlinda berkata calon wajib memiliki kelayakan institusi masing-masing serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan sekurang-kurangnya kepujian Bahasa Melayu dan lulus Sejarah.
“KPT ingin menegaskan bahawa semua permohonan kemasukan ke IPTA akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada penilaian dan keputusan Senat Universiti,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan calon akan melalui sesi temu duga termasuk penilaian penguasaan bahasa sebelum diterima masuk.
Dalam pada itu, KPT tidak bercadang memperluaskan program berkenaan buat masa ini dan hanya mengekalkan fokus kepada program yang telah ditetapkan.
Sumber: Facebook Astro Awani




