
Calhanoglu (dua dari kiri) percaya pasukannya mampu meraih tiga mata dalam penampilan pertama Piala Dunia sejak 2002.- Foto: Agensi
KAPTEN Turkiye, Hakan Calhanoglu melaungkan keyakinan tinggi menjelang aksi pembukaan Kumpulan D Piala Dunia 2026 hari ini (12 tengah hari waktu Malaysia) apabila mendakwa pasukannya memiliki lebih banyak kualiti dan bakat berbanding Australia.
Turkiye kembali ke pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak 2002 dan akan memulakan kempen di BC Place, Vancouver, Kanada dengan misi memadam rekod lima edisi berturut-turut tanpa kelayakan ke kejohanan berkenaan.
Calhanoglu percaya kebangkitan semula skuad kendalian Vincenzo Montella itu mampu diterjemahkan kepada permulaan cemerlang apabila menentang Australia.
“Saya fikir kami akan mendominasi perlawanan kerana kami mempunyai lebih banyak kualiti dan pasukan yang lebih berbakat.
“Jadi, kita akan lihat apa yang berlaku,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan.
Pemain tengah berusia 32 tahun itu hadir ke Piala Dunia selepas membantu Inter Milan menjulang kejuaraan Serie A musim ini, sekali gus dijangka menjadi nadi utama Turkiye dalam misi mereka di Amerika Utara.
Australia pula hadir dengan rekod lebih konsisten apabila beraksi dalam enam edisi Piala Dunia berturut-turut, termasuk kejayaan mara ke pusingan kalah mati pada edisi 2022 di Qatar.
Kenyataan Calhanoglu itu bagaimanapun tidak dianggap sebagai provokasi oleh kem Australia, sebaliknya disambut secara tenang oleh pemain tengah Socceroos, Aiden O’Neill yang menegaskan pasukannya turut memiliki kualiti tersendiri.
“Dia berhak memberikan pandangannya sendiri. Kami juga mempunyai pemain berkualiti dalam pasukan dan kami sudah bersedia,” katanya.
Dalam pada itu, pengendali Turkiye, Montella turut memberikan pandangan yang lebih seimbang apabila memuji beberapa aspek permainan Australia yang disifatkannya menarik dan berdisiplin.
“Saya mahu menggunakan beberapa teknik mereka kerana saya fikir ia adalah teknik yang menarik,” katanya.
Perlawanan Turkiye menentang Australia dijangka menjadi antara tumpuan awal Kumpulan D yang turut dihuni Amerika Syarikat dan Paraguay.



