Crystal Palace hantar lebih ramai pemain ke Piala Dunia berbanding Real Madrid

Crystal Palace hantar lebih ramai pemain ke Piala Dunia berbanding Real Madrid

KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL), Crystal Palace mencuri tumpuan apabila mencatat rekod mengejutkan dengan menghantar lebih ramai pemain ke Piala Dunia 2026 berbanding gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Perkembangan itu dimuktamadkan selepas semua 48 persatuan bola sepak antarabangsa menyerahkan senarai akhir skuad masing-masing pada 2 Jun lalu.

Lebih menarik, pencapaian berkenaan hadir dalam musim yang sama Palace menjulang trofi Liga Konferens UEFA 2025-2026, sekali gus melengkapkan kempen penuh bergaya buat kelab London Selatan itu.

Secara keseluruhan, seramai 12 pemain utama The Eagles dipanggil mewakili negara masing-masing ke pentas Piala Dunia di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Jumlah itu meletakkan Palace dalam kelompok elit kelab Eropah yang menyumbang pemain antarabangsa terbanyak ke kejohanan berprestij dunia itu.

Walaupun hanya menamatkan saingan EPL di tangga ke-15, nilai dan pengaruh pemain mereka di pentas antarabangsa nyata tidak boleh dipandang rendah.

Kedudukan itu turut menyaksikan Palace berada setaraf dengan beberapa kelab besar lain seperti Manchester United dan Atletico Madrid, selain menyamai sumbangan pemain dari kelab kaya Arab Saudi, Al Hilal.

Malah, mereka turut memintas nama besar seperti Liverpool dan AC Milan dari segi jumlah pemain ke Piala Dunia.

Di peringkat tertinggi, Manchester City mendahului senarai dengan 19 pemain, diikuti Bayern Munich dengan 18 pemain.

Paris Saint-Germain dan Arsenal pula masing-masing menyumbang 16 pemain, manakala Barcelona melengkapkan kelompok lima teratas dengan 15 pemain.

Dalam perkembangan sama, tumpuan turut terarah kepada skuad Sepanyol apabila Palace mempunyai pemain mewakili pasukan itu.

Penyerang sayap Palace, Yeremy Pino tersenarai dalam skuad utama Sepanyol, manakala Real Madrid tidak menyumbang sebarang pemain tempatan dalam senarai berkenaan iaitu kali pertama berlaku dalam sejarah.

Berikut ialah senarai lengkap 12 pemain Crystal Palace yang akan beraksi di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico:

1. Chadi Riad (Maghribi)

2. Chris Richards (Amerika Syarikat)

3. Evann Guessand (ivory Coast)

4. Daichi Kamada (Jepun)

5. Yeremy Pino (Sepanyol)

6. Jean-Philippe Mateta (Perancis)

7. Maxence Lacroix (Perancis)

8. Jørgen Strand Larsen (Norway)

9. Ismaïla Sarr (Senegal)

10. Daniel Muñoz (Colombia)

11. Jefferson Lerma (Colombia)

12. Dean Henderson (England)

 

 

Mesti Baca

Scroll to Top