Pelakon Ako Mustapha berang apabila anaknya, Mikael Iskandar, 10, didakwa dibuli oleh lima orang pelajar sekolah.
Menerusi perkongsian di Threads, Ako atau nama lengkapnya, Muhaizad Ahmad Mustapha memaklumkan, kesan buli tersebut turut meninggalkan kesan pada bahagian perut anaknya yang kini sedang mendapatkan rawatan di sebuah klinik kerajaan sebelum membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
“Hari ni saya marah sangat. Anak saya Mika kena buli dekat sekolah oleh lima pelajar. Dua pelajar senior dan tiga pelajar satu kelas.
“Dekat perut ada kesan tapak kasut dan kesan tumbukan. Sekarang dekat klinik kesihatan than buat polis report… seterusnya ke Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam hantaran sama, Ako juga memaklumkan anaknya itu mengadu sakit perut dan dada sebaik sahaja menerima rawatan di klinik kesihatan sebelum diminta merujuk kes berkenaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Tegasnya, dia dan isteri juga telah mengambil gambar dan video sebagai bukti tindakan buli yang berlaku ke atas anaknya.

Kesal dengan tindakan tersebut, Ako berharap orang ramai di luar sana mendoakan kesihatan anaknya itu.
“Masih di HKL, anak saya kena puasa sebab doktor nak buat x-ray. Doakan semuanya baik-baik buat anak saya,” jelasnya.




