Desak PRU16 disegerakan, Ahmad Zahid mahu cepat jadi PM – Puad Zarkashi

JOHOR BAHRU – Desakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) disegerakan kerana didakwa mahu cepat menjadi Perdana Menteri.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Timbalan Perdana Menteri itu berpandangan bahawa partinya sudah berada di puncak kekuatan sehingga yakin boleh membentuk kerajaan sendiri.

“Nampaknya beliau seolah-olah tidak lagi mahu menoleh ke belakang sebab itu minta pilihan raya dipercepatkan.

“Dengan jelasnya beliau sebut biru campur hijau dan pilih biru pekat jangan pilih biru cair, yang saya faham merujuk kepada PKR. Jadi dah nampak persefahaman UMNO PAS tidak lagi boleh dilambatkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Penerangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) #Stand4RCITH di sini pada Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan, Presiden UMNO menerusi ucapan dasar semasa Perhimpunan Agung UMNO 2026 berkata, pertemuan biru dan hijau mampu membentuk kekuatan politik baharu tanpa mengenepikan kepentingan kaum dan agama.

Tanpa menamakan mana-mana parti, kerjasama itu berkemungkinan menjadikan ‘warna’ asal parti itu berubah.

Sementara itu, Mohd Puad yang juga Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menegaskan, beliau lebih selesa tidak menganggotai mana-mana parti.

Katanya, tumpuan utama hanyalah memberi pandangan secara objektif terhadap isu semasa, khususnya membabitkan hala tuju kepimpinan negara.

“Saya bukan mengkritik UMNO tetapi pemimpin-pemimpin dalam parti itu.

“Janganlah marah-marah dan tuduh saya pengkhianat kerana keluar UMNO. Sebenarnya mereka yang berpura-pura dan tidak konsisten terutama pemimpin dayus, pilih bulu dan ikut cakap pengampu,” ujarnya.

Menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu, Mohd Puad berkata, beliau masih menganggap UMNO parti yang relevan bukan saja untuk orang Melayu tetapi juga rakyat Malaysia.

Namun, tindakan meninggalkan parti itu adalah keputusannya sendiri tanpa mengajak isteri serta anaknya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu berkata, selama 18 tahun menjadi ahli MKT, beliau tidak pernah gagal bersuara ketika bermesyuarat dan mempertahankan parti.

“Sebagai bukan lagi ahli parti saya lebih bebas mengkritik dari luar. Saya tidak akan dituduh tembak kaki sendiri. Saya bukan musuh dalam selimut,” ujarnya.

Scroll to Top