'Dorongan saya adalah diri sendiri, keluarga terutama emak'

'Dorongan saya adalah diri sendiri, keluarga terutama emak'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Gombak: Pemuda ini ada pakej yang lengkap kerana bukan hanya mahir memasak namun ada kemahiran menjahit.

Kelebihan yang ada itu tidak disia-siakan kerana Anwar Shamsuddin, 35, yang menetap di Batu 6 1/4, dekat sini memanfaatkannya dengan mengambil tempahan memasak dan menjahit pakaian sebagai punca rezeki.

Berkongsi kisahnya, Anwar berkata, dia memiliki Diploma Kulinari lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kemudian menceburi bidang masakan dan jahitan selepas tamat pengajian kerana minat serta melihatnya sebagai peluang untuk menjana pendapatan.

Menurut Anwar, percubaannya berhasil apabila mendapat sambutan dan kerana itu dia bertahan sehingga kini.

“Saya minat memasak sejak kecil sebab tinggal di kampung dan dapat pendedahan selepas kerap tengok emak memasak selain ikut mak cik pergi berewang.

“Waktu kecil pun, saya gemar menonton program memasak dihoskan Datuk Chef Wan dan daripada situ, minat semakin bertambah.

“Disebabkan itu, saya nekad sambung pengajian dalam jurusan kulinari…ikutkan saya cenderung kepada masakan dan kuih tradisional Melayu namun belajar cara memasak hidangan barat ketika di universiti,” katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, Anwar berkata, kemahiran menjahit pula dipelajari sejak berumur 21 tahun dan mempelajarinya menerusi YouTube.

Dia bermula dengan jahitan tangan sebelum mengumpul duit untuk membeli mesin jahit mudah alih.

Seperti memasak, Anwar bersyukur kerana ada kemahiran menjahit namun ada perasaan malu untuk menceburi bidang kulinari dan jahitan pada awalnya kerana memikirkan persepsi masyarakat.

“Ia kerana ada stigma bagi lelaki yang buat kerja macam saya tapi bila terima tempahan, saya terus terfikir buat apa nak malu.

“Rugi kalau sorok kerana saya nampak ramai orang dalam bidang ini berjaya dan lama kelamaan, malu itu pun hilang.

“Dorongan saya adalah diri sendiri, keluarga terutama emak, Salmiah Mohamad, 67, dengan abah, Shamsuddin Sakiman, 72, dan rakan yang segelintirnya mencadangkan nama kepada klien,” katanya yang juga anak bongsu daripada empat beradik.

Sepanjang lebih sedekad menceburi bidang kulinari dan jahitan, Anwar berkata, dia bersyukur kerana hasil kepercayaannya mendapat kepercayaan ramai.

“Antara pencapaian saya adalah dapat tempahan biskut raya dari pelanggan yang tinggal di London, United Kingdom (UK).

“Baru-baru ini pun, saya dapat tempahan menjahit pakaian individu kenamaan untuk istiadat penganugerahan pingat.

“Saya dapat tawaran itu menerusi Threads dan tak sangka kerana bukan nama besar tapi sangat berbesar hati.

“Kepercayaan itu yang memberi keyakinan untuk saya terus cari rezeki sampai sekarang dan berharap ada studio baju untuk berkarya dan restoran sendiri satu hari nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top