Dua dekad Pak Mastor mengukir legasi topi

khairil.ashraf@hmetro.com.my

BERTITIK tolak daripada menyimpan topi dihasilkan di seluruh dunia, Maswan Wakiran, 68, atau lebih dikenali sebagai Pak Mastor menghasilkan sendiri topi melalui jenama Topi Mastor.

Untuk rekod, Pak Mastor menyimpan lebih 200 topi yang dibeli sendiri atau dipesan daripada kenalan yang berkunjung ke luar negara.

Menurut Pak Mastor, dia mula mengusahakan jenama berkenaan pada 2002 dan rekaan yang dihasilkannya turut mengalami penambahbaikan bersesuaian dengan iklim, tubuh badan orang Asia seperti bentuk muka, ketinggian selain karakter.

Dicipta berdasarkan gaya tropika, Pak Mastor menjelaskan, topi yang dihasilkannya itu lebih sesuai digayakan untuk nampak bergaya.

“Apabila seseorang lelaki itu memakai topi ini, saya sering istilahkan mereka sebagai ‘auto macho’.

“Penampilan lelaki itu terus berbeza sama ada di khalayak ramai, dalam dewan, pusat beli-belah dan sebagainya.

“Sebenarnya bukan sekadar Topi Mastor sahaja, apa sahaja topi kalau sesuai dengan karakter pemakainya, mereka akan ‘auto macho’,” katanya di rumahnya, baru-baru ini.

Pak Mastor berkata, dia belajar sendiri menghasilkan topi berkenan, malah sepanjang 10 tahun menghasilkannya, ia tidak dijual kepada orang ramai.

Jelasnya, topi yang dihasilkan pada peringkat awal dipakai sendiri selain dihadiahkan kepada keluarga selain rakan.

“Pada peringkat awal, saya hasilkan bukan tujuan untuk komersial. Untuk pakai sendiri, bagi hadiah pada kawan-kawan atau ahli keluarga. Sedikit demi sedikit, ia semakin diterima daripada segi reka bentuk dihasilkan.

“Permintaan pula pada awalnya datang daripada individu yang kita kenal. Mereka bertanya bagaimana mahu mendapatkan Topi Mastor,” katanya.

Menurut Pak Mastor, dia memilih untuk menghasilkan topi kerana ia produk yang tahan lama serta tidak mudah rosak.

Katanya, topi yang dihasilkan juga tidak semestinya dapat dijual sebaik ia siap. Sebaliknya, ia memakan masa, ada kalanya sehingga setahun kerana ia bergantung kepada minat pemakai.

“Ada satu topi yang saya hasilkan tahun lalu, tahun ini baru terjual kerana minat orang yang datang itu berbeza-beza. Ada yang tak suka warna ini, ada pula yang tak suka reka bentuk sebegitu dan sebagainya,” katanya.

Pak Mastor berkata, sepanjang 24 tahun berkecimpung dalam pembuatan topi, dia sudah menghasilkan lebih 4,000 Topi Mastor.

Katanya, dia juga boleh menghasilkan 15 topi dalam sehari.

“Material topi yang dihasilkan daripada kulit diperoleh daripada pembekal di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Selangor dan Tanjung Malim, Perak.

“Ia dijual pada harga RM300 hingga ke RM400 untuk reka bentuk normal. Ada juga yang dijual pada harga lebih RM1,000, bergantung kepada aksesori tambahan seperti batu atau duri landak,” katanya.

Menurutnya, antara tetamu kenamaan yang pernah memakai Topi Mastor ialah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Datuk Seri Najib Razak; Tan Sri Muhyiddin Yassin; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Datuk Seri Hasni Mohammad.

“Saya juga berharap satu hari nanti pembuatan topi ini menjadi satu industri atau paling kurang pun, kerjaya untuk seseorang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top