Empat sekeluarga maut dipercayai makan tembikai dicemari kimia beracun

Empat sekeluarga maut dipercayai makan tembikai dicemari kimia beracun

MUMBAI – Empat sekeluarga ditemukan maut selepas dipercayai memakan tembikai dicemari bahan kimia beracun yang lazimnya digunakan sebagai racun tikus dalam kejadian mengejutkan di Mumbai, India.

Mangsa dikenali sebagai Abdullah Dokadia, 40, isterinya Nasreen, 35, serta dua anak perempuan mereka, Ayesha, 16, dan Zainab, 13.

Menurut polis tempatan, keluarga itu sebelum itu mengadakan makan malam bersama lima saudara mara di kediaman mereka di Pydhonie pada malam kejadian.

Selepas tetamu pulang, mereka dipercayai makan tembikai sekitar jam 1 pagi waktu tempatan pada 26 April lalu sebelum semua ahli keluarga jatuh sakit dalam tempoh 12 jam.

Mereka dipercayai makan tembikai sekitar jam 1 pagi waktu tempatan pada 26 April lalu sebelum semua ahli keluarga jatuh sakit dalam tempoh 12 jam. Gambar hiasan

Mereka dipercayai makan tembikai sekitar jam 1 pagi waktu tempatan pada 26 April lalu sebelum semua ahli keluarga jatuh sakit dalam tempoh 12 jam. Gambar hiasan

“Mereka mengalami muntah dan cirit-birit sebelum dibawa ke hospital berhampiran dan kemudian dipindahkan ke Hospital JJ.

“Bagaimanapun, keempat-empat mangsa gagal diselamatkan,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Mumbai, Pravin Mundhe baru-baru ini.

Susulan kematian itu, polis Mumbai bersama pakar forensik dan pegawai Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan melakukan pemeriksaan di rumah mangsa serta mengambil sampel makanan termasuk tembikai berkenaan.

Hasil ujian forensik minggu lalu mendapati tembikai tersebut mengandungi kandungan tinggi zink fosfida, bahan kimia berbahaya yang biasa digunakan dalam racun tikus.

Pengambilan bahan itu boleh menyebabkan komplikasi serius yang mengancam nyawa.

Walaupun punca kematian sudah dikenal pasti, pihak berkuasa dilaporkan masih belum dapat menentukan bagaimana bahan kimia tersebut boleh berada dalam buah berkenaan.

Media India menggelar insiden itu sebagai ‘kematian tembikai Mumbai’.

“Kami masih mengumpul bukti dan meneliti semua kemungkinan motif.

“Kami tidak menolak unsur pembunuhan, kematian akibat kemalangan atau bunuh diri,” kata seorang pegawai kanan polis kepada BBC pada Rabu.

Menurutnya, seramai 40 hingga 50 individu termasuk ahli keluarga, jiran, rakan dan rakan sekerja mangsa sudah disoal siasat bagi membantu siasatan.

Kes itu mendapat perhatian meluas di India sehingga media tempatan menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati ketika membeli dan memakan tembikai yang popular pada musim panas.

Laporan media turut menyebut kejadian berkenaan menyebabkan harga tembikai di pasaran Mumbai merosot akibat kebimbangan pengguna.- Agensi

Scroll to Top