Fokus pada misi bukan peserta, Farah Lee perjelas sebab tak sertai GSF 2.0

Fokus pada misi bukan peserta, Farah Lee perjelas sebab tak sertai GSF 2.0

Pempengaruh dan aktivis kemanusiaan, Farah Lee menyatakan pendirian jelas bahawa beliau tidak akan menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, sebaliknya menyeru orang ramai agar memberikan perhatian kepada misi yang dibawa bukannya individu yang terlibat.

Fokus misi bukan peserta

Menerusi satu hantaran di platform Threads, Farah memaklumkan keputusan tersebut telah lama dibuat atas faktor peribadi serta beberapa kontroversi yang tidak dapat dikongsikan kepada umum.

“Saya tidak menyertai GSF 2.0 dan telah lama memutuskan untuk tidak memohon menyertai misi ini atas sebab peribadi dan kontroversi,” ciapannya, semalam.

Dalam masa yang sama, Farah menjelaskan bahawa ketika menyertai GSF 1.0 sebelum ini, dia banyak menolak tawaran untuk ditemu bual oleh media bagi memastikan fokus diberikan sepenuhnya kepada misi, bukannya kepada peserta.

“Sepanjang GSF 1.0, saya menolak kebanyakan temu bual media untuk memastikan fokus kekal pada misi, bukan peserta,” ujarnya.

Farah turut menolak dakwaan bahawa dirinya tidak lagi aktif dalam kerja-kerja bantuan untuk Gaza, sebaliknya menegaskan beliau masih berada di lapangan dan terlibat secara langsung dalam usaha kemanusiaan.

“Saya adalah pekerja kemanusiaan di lapangan. Saya terus menyalurkan bantuan ke Gaza termasuk sepanjang misi musim sejuk dan Ramadan tahun ini,” katanya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu turut memaklumkan bahawa pelbagai inisiatif termasuk peluang tajaan untuk membantu anak-anak yatim di Gaza melalui program anak angkat juga telah dilancarkan.

Mengulas lanjut, Farah menegaskan bahawa setiap individu mempunyai peranan dan kapasiti yang berbeza dalam memperjuangkan isu Palestin, dan tidak wajar memberi tumpuan kepada figura semata-mata.

“Setiap orang ada tugas, ruang dan kapasiti berbeza dalam perjuangan untuk Palestin. Fokus kepada misi, bukan ahli yang menyertai misi,” katanya.

Dalam pada itu, dia mengingatkan bahawa isu penderitaan rakyat Palestin tidak seharusnya dikecilkan atau dilupakan hanya kerana perhatian lebih tertumpu kepada individu tertentu.

“Isunya jauh lebih besar, melibatkan dekad ketidakadilan terhadap rakyat Palestin,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun, Farah tidak menolak kemungkinan untuk menyertai mana-mana misi kemanusiaan seumpama itu pada masa akan datang sekiranya diperlukan.

Artikel lain: Farah Lee enggan kongsi konten mengarut – “Saya takde masa nak kacip”

Terdahulu, Farah memohon maaf akan personalitinya yang sering didakwa sedikit tegas dan tidak suka bergurau di media sosial.

Dia mengakui kekangan waktu menjadi sebab dirinya tidak sempat untuk berhibur di media sosial dan lebih mengutamakan penyampaian info bermanfaat sahaja.

Sumber: Threads farahlee_

Scroll to Top