Hakim Danish tekad kibarkanJalur Gemilang di Hungary

Hakim Danish tekad kibarkanJalur Gemilang di Hungary

PELUMBA muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli bertekad meneruskan momentum cemerlang yang diraih pada Moto3 Grand Prix (GP) Itali apabila bersedia mengharungi cabaran GP Hungary di Litar Balaton Park dari 5 hingga 7 Jun ini.

Hakim Danish hadir ke Hungary dengan keyakinan tinggi selepas melakar sejarah peribadi apabila meraih podium sulung menerusi kedudukan ketiga pada Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 di Mugello, Ahad lalu.

Pencapaian pelumba berusia 19 tahun kelahiran Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu itu turut menamatkan penantian sedekad Malaysia untuk menyaksikan Jalur Gemilang kembali berkibar di pentas podium Moto3.

Kejayaan di Itali bukan sahaja menghadiahkan keputusan terbaik dalam kariernya di pentas dunia, malah menjadi suntikan moral penting menjelang pusingan kelapan musim ini.

Menurut pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu, banyak pengajaran berharga diperoleh daripada perlumbaan di Mugello, terutama dalam aspek pengurusan perlumbaan, strategi serta ketenangan ketika berdepan tekanan sengit daripada barisan pelumba terbaik dunia.

Katanya, pengalaman bersaing dalam kelompok hadapan sehingga ke garisan penamat memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai cara mengendalikan jentera dan membuat keputusan penting ketika perlumbaan memasuki fasa kritikal.

“Sudah tentu selepas berakhirnya perlumbaan di Mugello, Itali, saya kini lebih bersemangat dan bermotivasi tinggi untuk menghadapi saingan di Hungary minggu ini.

“Banyak pengajaran yang saya peroleh di Itali, terutamanya dalam aspek menguruskan perlumbaan dengan lebih matang selain kekal tenang di atas litar.

“Saya mendapat banyak pengalaman berharga apabila bersaing dalam kelompok hadapan. Ini merupakan kali kedua saya berada dalam kelompok itu di Mugello.

“Saya banyak belajar cara mengendalikan jentera pada lima pusingan terakhir serta bersaing dengan pelumba bertaraf dunia yang sangat pantas. Ia benar-benar satu pengalaman yang sangat bermakna bagi saya,” katanya.

Bagaimanapun, fokusnya kini terarah sepenuhnya kepada cabaran di Litar Balaton Park yang bakal menjadi pengalaman baharu memandangkan dia belum pernah berlumba di venue tersebut.

Justeru, Hakim Danish berazam menyesuaikan diri dengan litar berkenaan secepat mungkin bagi memastikan dia mampu tampil kompetitif sejak sesi pertama lagi.

“Saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk menyesuaikan diri dengan litar tersebut secepat mungkin.

“Matlamat saya adalah untuk tampil kompetitif sejak awal lagi, bermula daripada sesi latihan bebas pertama (FP1) sehinggalah hari perlumbaan pada Ahad nanti.

“Persiapan saya untuk perlumbaan minggu ini berjalan lancar. Saya sentiasa memastikan rutin latihan diteruskan secara konsisten.

“Sebaik tamat perlumbaan lalu, saya terus kembali ke kediaman di Sepanyol untuk mengkaji semula rakaman video perlumbaan serta melakukan analisis demi memperbaiki tunggangan saya,” katanya.

Sebagai persediaan menghadapi pusingan kelapan musim ini, Hakim Danish tidak mengambil masa lama untuk kembali menjalani latihan selepas perlumbaan di Mugello apabila terus pulang ke Sepanyol bagi melakukan analisis terperinci terhadap prestasinya.

Beliau menggunakan tempoh rehat yang singkat itu untuk meneliti rakaman perlumbaan serta menilai setiap aspek tunggangannya dalam usaha memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi pada perlumbaan seterusnya.

Selain itu, rutin latihan fizikal dan persediaan mental turut diteruskan seperti biasa bagi memastikan dirinya berada pada tahap terbaik menjelang aksi hujung minggu ini.

Hasil pencapaian membanggakan di Mugello, Hakim Danish kini melonjak ke tangga ke-11 keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 dengan mengumpul 43 mata selepas tujuh pusingan.

Lebih membanggakan, beliau turut merekodkan empat penamat dalam kelompok 10 terbaik musim ini sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara bakat muda paling menyerlah dalam saingan Moto3.

Scroll to Top