SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menawarkan insentif wang tunai kepada setiap ekor anjing terbiar yang diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan itu.
Menerusi Program Pemberian Insentif Penyerahan Anjing Terbiar Secara Sukarela 2026 yang bermula 24 Ogos ini, insentif RM50 akan diberikan bagi setiap ekor anjing dewasa dan RM25 bagi anak anjing
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Baharuddin berkata, inisiatif berkenaan diwujudkan susulan banyak aduan diterima pihaknya berkaitan masalah anjing terbiar, namun usaha menangkap haiwan berkenaan sering berdepan kesukaran.
Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila anjing yang diadukan sudah tiada di lokasi ketika pasukan penguat kuasa tiba untuk menjalankan operasi tangkapan.
“Pihak kami menerima banyak aduan tetapi apabila MBS ke tempat aduan, anjingnya tiada atau sudah menghilangkan diri kerana anjing mempunyai deria bau yang kuat.
“MBS selalu dipersalahkan kalau tidak dapat tangkap. Dengan adanya kaedah ini, penduduk dapat membantu menangkap anjing tersebut di samping mendapat insentif yang ditawarkan,” katanya.
Masri berkata, kaedah berkenaan merupakan antara inisiatif MBS bekerjasama dengan orang awam bagi menangani masalah anjing terbiar yang semakin kerap dilaporkan.
Katanya, antara syarat ditetapkan adalah pemohon mestilah warganegara Malaysia, mempunyai dokumen pengenalan diri dan menetap dalam kawasan pentadbiran MBS.
“Anjing yang diserahkan mestilah dalam keadaan hidup serta tidak mengalami kecederaan serius atau penderaan. Anjing yang tidak berlesen atau tiada bukti pemilikan juga boleh diserahkan.
“Penyerahan daripada individu dan persatuan penduduk berdaftar sahaja dibenarkan manakala permohonan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak akan diterima,” katanya.
Beliau berkata, tuntutan bayaran akan diberikan secara tunai selepas permohonan diproses dan anjing berkenaan dinilai dalam keadaan baik.
“Anjing yang diserahkan akan dihantar ke pusat perlindungan anjing (PAUN) milik MBS yang diluluskan untuk penjagaan oleh NGO yang dilantik,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan akan dilaksanakan sehingga masalah anjing terbiar dapat ditangani sepenuhnya, tertakluk kepada peruntukan yang disediakan bagi tahun semasa. – UTUSAN

