KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mahu semua syor penambahbaikan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) dilaksanakan sepenuhnya bagi mengukuhkan keyakinan 10 juta pendeposit terhadap institusi berkenaan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, langkah itu juga perlu dilakukan bagi memastikan tadbir urus TH terus diperkukuh.
“Dapatan RCI menyentuh isu tadbir urus, struktur kuasa, pemisahan fungsi dan mekanisme semak imbang. Perkara-perkara ini perlu dilihat sebagai asas untuk memperkukuh TH, bukan mencari keuntungan politik jangka pendek.
“BN menyambut baik usaha penambahbaikan yang telah dilaksanakan, termasuk pelaksanaan syor-syor RCI, dan berpandangan bahawa transformasi institusi perlu diteruskan secara konsisten,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, hakikat bahawa laporan RCI telah dinyahklasifikasikan, dibentangkan dan dibahaskan oleh ahli Dewan Rakyat membuktikan bahawa proses ketelusan dilaksanakan melalui saluran institusi negara yang sah.
“BN berpandangan bahawa sidang khas Parlimen telah membuka ruang yang luas untuk penelitian awam terhadap laporan RCI Tabung Haji. Ketelusan telah dilaksanakan. Perbahasan telah berlangsung. Transformasi sedang berjalan.
“Maka, fokus selepas ini bukan lagi untuk menimbulkan persepsi bahawa ada pihak yang cuba menyembunyikan sesuatu,” katanya.
Justeru, Zambry berkata, semua pihak perlu mengelakkan tuduhan melulu, penghakiman politik sebelum proses perundangan selesai dan naratif yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit tanpa asas yang bertanggungjawab.
Dalam pada itu, beliau berkata, BN tidak pernah mengambil pendirian untuk menutup ruang penelitian awam terhadap isu melibatkan TH, yang dapat dibuktikan menerusi sokongan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak awal supaya laporan RCI itu didedahkan di Parlimen dan dibahaskan secara khas.
“Malah, beliau turut mencadangkan supaya penelitian diperluas bagi memastikan ketelusan yang benar-benar menyeluruh,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Zambry turut mencadangkan supaya kajian menyeluruh mengenai keseluruhan sejarah tadbir urus TH dilaksanakan, dengan turut membuat penelitian terhadap tempoh-tempoh lain dan tidak hanya tahun 2014 hingga 2020 sahaja.
“Ia termasuk perkembangan dan keputusan selepas tahun 2020 seperti peranan yang dimainkan oleh Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) sejak penubuhannya sehingga kini,” katanya.- Bernama
