Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) di Tunjong mengambil masa lebih lama untuk disiapkan apabila Kerajaan Kelantan memilih pendekatan berhati-hati dalam menentukan kontraktor yang terlibat.
Memetik laporan daripada Sinar Harian, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin menyatakan, kerajaan negeri tidak mahu tergesa-gesa memilih kontraktor semata-mata untuk memastikan projek itu siap mengikut tempoh ditetapkan, sebaliknya mahu mengelakkan risiko projek terbengkalai atau syarikat mengalami masalah kewangan.
Kerajaan negeri kena berhati-hati
Menurutnya, pendekatan itu menyebabkan pembangunan KB Sentral mengambil masa lebih lama, namun kerajaan negeri mahu memastikan projek berkenaan dapat disiapkan dengan baik.
“Kerajaan negeri ini berhati-hati. Sebab apa jadi lama? Kerana berhati-hati. Kalau kontraktor tidak cukup kompeten, kontraktor tidak cukup duit, kita tidak akan buat.
“Nanti kita tanggung seperti syarikat bankrap dan sebagainya, nanti lagi lama. Kita pilih yang terbaik. Lambat tidak apa, asal jadi molek,” katanya pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke -15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas).
Dr Izani menambah, pembangunan KB Sentral kini dibahagikan kepada dua fasa iaitu kerja tanah bagi fasa pertama dan pembinaan fizikal terminal untuk fasa kedua.
Kerja penambakan dan kerja tanah bagi fasa pertama membabitkan kos RM14 juta, manakala pembinaan terminal akan dimulakan selepas fasa berkenaan selesai.

Cari kaedah pembiayaan & pelaksanaan dapat kurangkan beban kewangan
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut mencari kaedah pembiayaan dan pelaksanaan yang dapat mengurangkan beban kewangan, termasuk mempertimbangkan kerjasama dengan syarikat melalui konsep Build-Operate-Transfer (BOT).
“Kita cuba cari kaedah-kaedah yang paling kita boleh menyelamatkan kewangan kerajaan negeri. Kalau akhirnya tidak ada juga, jawabnya duit kitalah,” katanya.
Kerajaan negeri turut membuka ruang kepada kontraktor dan syarikat yang berminat untuk mengemukakan cadangan berkaitan kaedah pembinaan serta reka bentuk KB Sentral.
“Sekarang ini di peringkat kita kumpul. Kalau ada lagi kontraktor, tidak mahu mewah sangat, asal boleh masuk, kita nak tengok bagaimana dia bina, kita buka semua dah dengan kos ini.
“Soal-soal reka bentuk dan sebagainya, ia jadi fasa kedua,” katanya.
Sementara itu, Dr Izani memaklumkan kerja tanah KB Sentral dijangka berakhir pada Mei 2027 dengan kemajuan ketika itu direkodkan sebanyak 40.7 peratus.
Sebelum ini, projek KB Sentral dilaporkan bernilai kira-kira RM64 juta dan disasarkan siap pada penghujung 2026. Bagaimanapun, pertukaran pelaksana, pengambilalihan semula projek serta kerja rawatan dan penstabilan tanah menyebabkan sasaran penyelesaian berubah sehingga 2028.
Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)
