
Imej satelit yang disediakan oleh Maxar Technologies dan diambil pada 22 Jun 2025, menunjukkan kerosakan yang disebabkan oleh serangan AS ke atas kemudahan pengayaan nuklear Isfahan di tengah Iran. -Foto: AFP
TEHERAN – Kerajaan Iran memfailkan saman terhadap Amerika Syarikat (AS) di Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) di The Hague berhubung tindakan ketenteraan Washington ke atas kemudahan nuklear Iran, pelaksanaan sekatan ekonomi dan ancaman tindakan ketenteraan terhadap negara itu, menurut agensi berita Mizan pada Selasa, lapor Xinhua.
Saman itu difailkan di PCA pada Februari dengan merujuk kepada pelanggaran Perjanjian Algiers 1981 serta pelanggaran komitmen antarabangsa oleh AS semasa serangan selama 12 hari ke atas Iran pada Jun 2025.
Mizan, saluran berita rasmi badan kehakiman Iran melaporkan bahawa Iran menuntut mahkamah mensabitkan AS atas campur tangan dalam urusan dalaman negara itu dan mengarahkan kerajaan AS menghentikan segera campur tangan secara langsung dan tidak langsung.
Iran turut menuntut AS memberi jaminan bahawa tindakan sedemikian tidak akan berulang serta membayar pampasan penuh terhadap kerosakan yang dialami Iran, menurut laporan itu.
Iran menandatangani Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada Julai 2015 yang mengenakan sekatan terhadap program nuklearnya sebagai pertukaran kepada pelonggaran sekatan.
AS menarik diri daripada perjanjian itu pada 2018 dan mengembalikan semula sekatan, yang mendorong Iran mengurangkan komitmen nuklearnya.
Rundingan bagi menghidupkan semula JCPOA bermula pada April 2021 di Vienna, namun tiada kemajuan ketara dicapai sejak pusingan terakhir rundingan berakhir pada Ogos 2022.
Semasa konflik 12 hari antara Iran dan Israel, AS mengebom tiga kemudahan nuklear Iran iaitu Fordow, Natanz dan Isfahan.
— BERNAMA-XINHUA
TAG: Iran, saman, AS, The Hague, PCA, pencerobohan ketenteraan



