
Remaja itu didakwa membuat ugutan terhadap bapanya menerusi panggilan telefon. Gambar hiasan
SAPPORO – Seorang pelajar sekolah menengah lelaki berusia 18 tahun ditahan polis selepas didakwa mengugut untuk membunuh bapanya dalam kejadian di daerah Chuo, Ahad lalu.
Menurut polis, remaja itu didakwa membuat ugutan terhadap bapanya menerusi panggilan telefon ketika lelaki berkenaan berada di rumah mereka kira-kira jam 1 tengah hari.
Media tempatan melaporkan, si bapa segera menghubungi polis dan memaklumkan bahawa anaknya telah mengeluarkan kata-kata ugutan seperti “Saya akan bunuh kamu dan kerat badan kamu.”
Mangsa turut memberitahu bahawa anaknya sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.
Anggota polis yang tiba tidak lama kemudian menahan suspek sebaik dia pulang ke rumah.
Ketika disoal siasat, remaja itu dilaporkan mengaku ada mengeluarkan ugutan bunuh, namun menafikan dia menyebut mahu mengerat mayat bapanya.
Polis kini sedang menyiasat motif sebenar kejadian serta keadaan terperinci yang membawa kepada insiden tersebut.



