JAKARTA – Pertandingan Kuiz Lomba Cerdas Cermat (LCC) Empat Pilar MPR RI 2026 mencetuskan kontroversi selepas jawapan seorang peserta didakwa dianggap salah walaupun mempunyai fakta sama seperti jawapan yang kemudian diterima panel juri.
Insiden membabitkan peserta dari Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 1 Pontianak itu tular di media sosial sehingga mencetuskan dakwaan berlaku ketidakadilan dan penjurian berat sebelah dalam pertandingan berkenaan.
Kejadian berlaku ketika sesi soal jawab di Pontianak apabila moderator mengemukakan pertanyaan mengenai mekanisme pemilihan anggota Badan Pemeriksa Keuangan (BPK) Indonesia.
Peserta dikenali sebagai Josepha Alexandra atau Ocha menjadi individu pertama menekan loceng sebelum menjawab bahawa anggota BPK dipilih oleh Dewan Perwakilan Rakyat dengan mengambil kira pertimbangan Dewan Perwakilan Daerah serta disahkan Presiden.
Namun, jawapan tersebut diputuskan salah oleh panel juri menyebabkan pasukan SMAN 1 Pontianak dipotong markah.
Tidak lama kemudian, soalan sama diajukan kepada peserta dari SMAN 1 Sambas yang memberikan jawapan hampir sama, tetapi kali ini diterima sebagai betul dan diberikan markah penuh.
Situasi itu mencetuskan bantahan daripada Ocha yang menegaskan beliau turut menyebut unsur DPD ketika memberikan jawapan.
“Maaf, mungkin juri boleh melihat daripada pandangan lain juga, mungkin daripada penonton, sama ada ada yang mendengar saya menyebut DPD atau tidak,” katanya.
Bagaimanapun, panel juri tetap mempertahankan keputusan mereka dengan alasan sebutan peserta tidak didengari secara jelas.
“Keputusan berada di tangan dewan juri,” kata salah seorang juri pertandingan.
Pihak penganjur kemudian menjelaskan aspek artikulasi atau kejelasan sebutan merupakan antara elemen penting dalam penilaian pertandingan.
Rakaman insiden itu pantas tular di media sosial dengan ramai warganet mempersoalkan kewajaran keputusan juri selain menyifatkan peserta dari SMAN 1 Pontianak menjadi mangsa penilaian tidak adil.
Sebahagian pengguna media sosial turut memuji keberanian Ocha kerana mempertahankan jawapannya secara terbuka di hadapan panel juri.
Difahamkan, Ocha sebelum ini pernah membantu pasukannya menjuarai pertandingan LCC MPR RI pada tahun 2025.
Susulan kontroversi tersebut, pihak Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Indonesia tampil memohon maaf secara terbuka kepada peserta dan orang ramai.
MPR turut menggantung tugas panel juri serta pengacara majlis (MC) yang terlibat sementara siasatan dan penilaian semula dijalankan terhadap pertandingan berkenaan.
Naib Pengerusi MPR, Abcandra Muhammad Akbar Supratman berkata, pihaknya akan melakukan penilaian menyeluruh terhadap sistem pertandingan bagi mengelakkan insiden sama berulang.
“Kami memohon maaf atas kecuaian juri dan akan mengambil tindakan susulan terhadap kejadian ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pengacara pertandingan, Shindy Lutfiana turut tampil memohon maaf selepas kenyataannya ketika pertandingan dianggap memperlekeh bantahan peserta.
Beliau mengakui kesilapan mengeluarkan kenyataan berbunyi “mungkin itu hanya perasaan adik-adik saja” ketika peserta mempertikaikan keputusan juri.
Kontroversi itu turut mendapat perhatian ahli politik Indonesia apabila beberapa wakil rakyat menggesa pertandingan diadakan semula demi memastikan keadilan kepada semua peserta. – Agensi


