PROGRAMSalam Baitullah yang diterbitkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bukanlah suatu yang asing bagi umat Islam di Malaysia.
Memasuki musim ke-18 pada tahun ini, RTM membawakan segmen baharu iaitu Istiqamah yang memperincikan kisah pascahaji iaitu tentang perubahan diri, ujian dan perjalanan dalam mengekalkan iman selepas pulang ke tanah air.
Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Ashwad Ismail berkata, perjalanan menunaikan haji merupakan pengalaman peribadi yang memberikan impak positif kepada setiap jemaah dalam usaha menjadi insan yang lebih baik.
“Intipati segmen Istiqamah bukan mengenai cerita bermusim, sebaliknya mengenai perjalanan dalam membentuk insan, memberi suntikan terhadap nilai dan sentiasa menjadi cerminan atau refleksi diri untuk mengenal diri dan mengenal Tuhan.
“Perjalanan haji ini memberikan gambaran tentang cabarannya ketika musim haji dan kemudiannya untuk meneruskan kesinambungan sebaik tiba di tanah air selepas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Salam Baitullah Musim 2026 di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam baru-baru ini.

ASHWAD ISMAIL
Tambahnya, selain Istiqamah, program yang mencapai tontonan sehingga lima juta secara keseluruhan itu turut menampilkan segmen Khabar Tanah Suci yang bersiaran lintas langsung dari Makkah dan Madinah serta merakam denyut perjuangan jemaah haji.
“Duyufurrahman pula memaparkan kisah benar yang menyentuh jiwa dan menghidupkan makna panggilan Ilahi serta segmen Al-Bayan merupakan wacana ilmu dan pengisian rohani yang disertai alunan qasidah, nasyid serta ayat-ayat suci.
“Segmen Rehlah Haramain pula akan mengeksplorasi sejarah dan keindahan Tanah Suci melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) yang imersif manakala segmen Kapsul Haji pula mengenai panduan praktikal ibadah haji yang dirakam di lokasi masjid terpilih di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” jelasnya.
Cabaran berhadapan krisis dunia
Ujarnya, musim haji kali ini berhadapan dengan cabaran yang berbeza apabila dunia sekarang berhadapan dengan krisis tenaga global selain ketidakstabilan di Asia Barat akibat perang yang tidak berkesudahan.

ASHWAD (sembilan dari kanan) bersama tunjang utama Salam Baitullah dan rakan strategik.
“Orang mahu tengok bagaimana perjalanan haji kali ini yang pastinya lebih mencabar. Kalau dahulu kita dapat saksikan cabaran jemaah haji berhadapan dengan cuaca.
“Namun kali ini kita sedang berhadapan dengan satu krisis tenaga global dan ketidakstabilan di rantau Asia Barat yang dilihat rapuh. Itulah cabarannya kali ini,” jelasnya.
Menurut Ashwad, Salam Baitullah merupakan program yang patut ditonton umat Islam dalam memahami ibadah haji.
“Ia bukan sekadar Rukun Islam kelima, tetapi ia memandu rasa dalam mendekatkan diri dengan Baitullah.
“Dan bermula dengan rasa itu, maka wujudlah apa yang kita doa selama ini iaitu panggilan haji,” katanya.
Program Salam Baitullah yang bertemakan Jihad yang Terindah akan disiarkan di TV1 mulai 13 hingga 27 Mei depan bermula 9 hingga 10.30 malam dan dikemudi Jalal Zaiki dan Ustaz Izmir Fareez.

LAH AHMAD menyumbangkan suara merdu menerusi lagu OST Salam Baitullah.
Menariknya buat pertama kali dalam sejarah penerbitan, program ini mempersembahkan lagu tema rasmi (OST) nyanyian merdu selebriti Lah Ahmad.
Selain siaran televisyen, RTM turut membawakan Salam Baitullah Unplugged: Benda Baik Kita Borak, yang disiarkan melalui platform digital dan menampilkan pendekatan lebih segar bersama pempengaruh, selebiriti dan tokoh jemputan yang dikendalikan Ustaz Tajdid Hadhari.



