Jangan jadikan rakyat, peniaga bahan eksperimen cukai – Wan Ahmad Fayhsal

PUTRAJAYA – Kerajaan diminta tidak menjadikan rakyat dan peniaga sebagai bahan eksperimen susulan cadangan menggabungkan elemen Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Penerangan Nasional Parti Wawasan Negara (Wawasan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci bentuk sistem hibrid berkenaan sekiranya benar-benar mahu melaksanakannya.

Menurutnya, perubahan dasar percukaian sebesar itu tidak boleh dibuat secara cuba-cuba kerana kesannya akan ditanggung jutaan pengguna dan peniaga.

“Kerajaan tidak boleh sekadar berkata mahu mengambil kelebihan kedua-dua sistem kerana GST dan SST mempunyai struktur yang berbeza.

“Jika mahu digabungkan, rakyat dan dunia perniagaan berhak mengetahui mekanismenya, kadar cukai, skop barangan dan perkhidmatan, threshold pendaftaran serta bagaimana kredit cukai input akan dikendalikan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, peniaga memerlukan kepastian dan bukannya eksperimen fiskal, khususnya ketika perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sedang berdepan pelbagai perubahan dalam operasi.

Ujar beliau, PKS kini perlu menyesuaikan sistem perakaunan dan operasi dengan pelaksanaan e-Invois, selain menanggung peningkatan kos bahan mentah, utiliti, tenaga, logistik dan upah.

“Sebarang sistem cukai baharu akan membawa kos tambahan daripada perubahan perisian dan latihan kakitangan kepada yuran perakaunan serta penyusunan semula proses invois dan tuntutan.

“Sebab itu kerajaan wajib membentangkan kajian impak dan kos pematuhan sebelum mengumumkan arah dasar baharu. Jangan umumkan slogan dahulu, kemudian baru fikir bagaimana sistem hendak dilaksanakan,” tegas Wan Ahmad Fayhsal.

Pada Selasaa, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan bersedia meneliti sistem percukaian yang menggabungkan elemen SST dan GST bagi membentuk sistem yang lebih progresif serta efisien.

Bagaimanapun, cadangan berkenaan tidak bermakna GST akan diperkenalkan semula sepenuhnya, sebaliknya kerajaan masih mengekalkan SST sebagai asas sistem percukaian semasa dan meneliti elemen GST yang sesuai untuk diterapkan.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, kesan perubahan sistem percukaian tidak hanya akan dirasai peniaga kerana peningkatan kos operasi berpotensi dipindahkan kepada harga barang dan perkhidmatan.

“Yang akhirnya membayar ialah pengguna

“Jika kerajaan mendakwa sistem hibrid ini lebih progresif dan tidak membebankan golongan berpendapatan rendah, tunjukkan buktinya dengan angka,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan jumlah hasil tambahan yang bakal diperoleh kerajaan, kos yang perlu ditanggung PKS serta kesan terhadap inflasi dan harga barang.

“Siapa yang akan membayar lebih dan siapa yang akan membayar kurang?

“Ini sepatutnya dijawab sebelum sistem baharu diumumkan, bukannya selepas rakyat dan peniaga diminta menyesuaikan diri,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal turut mempersoalkan mengapa SST yang selama ini dipertahankan sebagai sistem percukaian lebih bersasar kini dilihat perlu mengambil elemen GST.

“Jika GST dahulu dikatakan terlalu membebankan rakyat, elemen manakah daripada GST yang kini mahu diperkenalkan?” soalnya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan perubahan pendirian berhubung GST selepas sebelum ini menegaskan cukai berkenaan tidak akan dikembalikan dan SST akan dikekalkan.

“Rakyat tidak memerlukan satu lagi nama baharu untuk cukai. Mereka memerlukan kestabilan dasar, kepastian kadar, sistem yang mudah dipatuhi dan jaminan bahawa perubahan percukaian tidak akhirnya menaikkan kos sara hidup,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menerangkan sistem yang dicadangkan, menyatakan kadar cukai serta membentangkan kajian impaknya kepada rakyat dan dunia perniagaan.

“Jika tidak, rakyat mempunyai sebab untuk melihatnya sebagai satu lagi ‘Cukai Madani’ – nama mungkin baharu tetapi bebannya tetap sampai kepada rakyat,” tambahnya.

 

Scroll to Top