WASHINGTON – USS Benfold, sebuah kapal pemusnah peluru berpandu kelas Arleigh Burke, terputus bekalan kuasa selama empat hari di Laut China Selatan bulan lepas susulan kegagalan kejuruteraan, lapor Anadolu Ajansi.
“Pada 24 Julai 2026, ketika menjalankan operasi rutin di Indo-Pasifik, kapal pemusnah peluru berpandu kelas Arleigh Burke USS Benfold (DDG 65) melaporkan kerosakan kejuruteraan membabitkan penjananya sehingga menyebabkan bekalan kuasa terputus,” kata jurucakap Armada Ketujuh Amerika Syarikat (AS), Komander Matthew Comer dalam satu kenyataan kepada USNI News.
“Tiada kru cedera dan mereka menunjukkan ketabahan, kecekalan, profesionalisme serta ketenangan yang tidak berbelah bahagi dalam menangani kejadian itu,” kata beliau.
Menurut kenyataan itu, gangguan bekalan kuasa menyebabkan kru kapal tidak dapat menggunakan kemudahan dapur, tandas dan penghawa dingin, selain menjejaskan bekalan air minuman di kapal berkenaan.
Comer berkata, Kumpulan Tempur Kapal Pengangkut George Washington yang turut disertai Benfold memberikan sokongan kepada kapal pemusnah itu sepanjang kejadian.
USS Robert Smalls, sebuah kapal penjelajah turut membantu menyediakan makanan kepada kru.
Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian masih dijalankan. – Bernama-Anadolu

